Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Seramai 222 atlet dan 165 jurulatih serta pegawai menerima insentif lebih RM1.5 juta atas pencapaian muncul naib juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Lembah Klang, September lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 'durian runtuh' itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada kontinjen negeri yang meraih 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa dalam temasya itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri menaikkan kadar insentif sebanyak RM500 daripada kadar asal bagi setiap pingat yang dimenangi menjadikan kadar terbaharu RM3,500 bagi emas, RM2,500 perak dan RM1,500 bagi gangsa.

Katanya, atlet kanu, Shahida Asyiqin Rusli, 18 menjadi atlet paling banyak menerima insentif bernilai RM33,500 serta sebuah jam tangan bernilai RM1,500 selepas mengutip empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa dengan memecah tiga rekod kebangsaan.

"Selain itu, sukan kanu mendapat jumlah insentif terbanyak iaitu RM286,000 selepas membawa pulang pingat terbanyak dengan lima emas, lapan perak dan 17 gangsa diikuti berbasikal yang menerima insentif keseluruhan RM194,000 selepas menyumbang sembilan emas, 12 perak dan lima gangsa.

"Walaupun kita tidak berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan, kerajaan negeri tetap berbangga kerana jumlah kutipan pingat melebihi sasaran ditetapkan.

"Kerajaan meletakkan harapan tinggi dengan insentif itu mampu menyuntik semangat atlet lain dalam misi merampas kembali kejuaraan Sukma edisi ke-21 yang bakal berlangsung di Johor pada 2024," katanya pada Majlis Apresiasi Kontinjen Sukma Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam, dekat sini, hari ini.

AHMAD Samsuri (tengah) bergambar bersama atlet Sukma semasa menyampaikan insentif berjumlah lebih RM1.5 juta, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
AHMAD Samsuri (tengah) bergambar bersama atlet Sukma semasa menyampaikan insentif berjumlah lebih RM1.5 juta, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Ketua Kontinjen Sukma, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut melancarkan penubuhan Sekretariat Kebajikan Atlet Negeri Terengganu (SUKANT) dengan penyerahan dana permulaan RM100,000 kepada Ahmad Shahrizal.

"Objektif utama penubuhan SUKANT adalah menjaga hal berkaitan kebajikan, amal dan kesejahteraan, pendidikan berterusan serta pembinaan kerjaya bagi ahli dalam kalangan atlet dan bekas atlet anak jati Terengganu yang mewakili negeri dalam kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan Sukma.

"SUKANT turut berperanan sebagai perantara dan 'one stop centre' bagi segala urusan berkaitan ahli yang akan

diselaraskan MSNT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 9:16 PM