AIFA galas misi sukar  di Birmingham.
AIFA galas misi sukar di Birmingham.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun menggalas tanggungjawab besar selepas ketiadaan rakan sepasukan, S Sivasangari, pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman tetap tenang dan bersikap positif menjelang penampilan kedua di temasya Sukan Komanwel.

Baginya, dia tidak perlu meletakkan dirinya di dalam situasi tertekan dan akan cuba untuk kekal fokus pada setiap perlawanan dalam acara perseorangan dan beregu bersama Rachel Arnold.

"Saya tak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri. Yang penting saya perlu fokus pada setiap perlawanan terlebih dahulu. Situasi semasa ketika ini tidak meletakkan saya dalam keadaan sangat tertekan.

"Perasaan gementar itu memang sentiasa dirasai dalam setiap pertandingan tetapi untuk meletakkan tekanan ke atas diri saya sendiri, memang tak ada," katanya.

Selain dibayangi Sivasangari yang menjadi prospek emas negara, Aifa juga dipilih menggantikan rakan sepasukannya itu selaku pembawa Jalur Gemilang negara.

Sivasangari tidak dapat beraksi di Birmingham selepas terbabit kemalangan kereta hujung bulan lalu.

"Untuk acara perseorangan, saya letak sasaran dapat mara ke kelompok lapan terbaik. Bagi acara beregu pula, saya harap kami dapat memenangi pingat.

"Tapi saya sedar ia bukan mudah kerana pemain dari Scotland, New Zealand, India, Australia dan England pasti akan menjadi pesaing utama," kata Aifa.

Pada penyertaan di Gold Coast, Australia empat tahun lalu, Aifa menamatkan saingan perseorangan di pusingan 16 terbaik, begitu juga pencapaiannya dalam beregu campuran bergandingan bersama Sanjay Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 5:48 PM