MIRSHA (tengah) bersama ibu bapanya Mirnawan (kiri) dan Haryati Zahriman selepas memenangi pingat emas dalam acara sukan silat akhir kategori Solo Kreatif. FOTO Bernama
MIRSHA (tengah) bersama ibu bapanya Mirnawan (kiri) dan Haryati Zahriman selepas memenangi pingat emas dalam acara sukan silat akhir kategori Solo Kreatif. FOTO Bernama
Affan Rostam


Nilai: Pesilat Selangor, Mirsha Nurathiqa Mirnawan menceriakan kontinjen Selangor dengan kilauan pingat emas yang diraih menerusi acara solo kreatif putri di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Lebih manis, kejayaannya itu turut membanggakan bapanya yang juga bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Malah, kilauan pingat emas itu juga boleh diibaratkan sebagai hadiah bermakna buat bapanya yang tidak pernah menyertai sebarang temasya Sukma ketika bergelar atlet suatu ketika dahulu.

"Memang saya tidak pernah wakil mana-mana dalam Sukma, tak ada rezeki. Mirsha buat pertama kali bersaing dalam Sukma ini dengan saya pun tahu pengorbanan bukan mudah, jadi inilah hasilnya.

"Kami memang bangga dengan pencapaian Mirsha dan saya berasa satu keluarga bangga dengan dia. Tak semestinya saya main hoki, anak perlu main hoki.

"Apa yang penting mereka aktif dan dia sangat minat dalam silat, jadi kita sebagai ibu bapa bagi galakkan," kata Mirnawan.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga menyaksikan pingat perak dimenangi pesilat dari Kedah, Nur Inatha Khairuniyah Wira manakala, gangsa meniadi milik bersama Maisarah Zainal (Perlis) dan Nur Fauza Hidayah Abd Rahim (Negeri Sembilan).

Sementara itu, Mirsha mendedikasikan kemenangan itu buat kontinjen Selangor, jurulatih dan keluarga yang banyak membantu serta mendoakan kejayaannya.

"Memang tak sangka langsung, alhamdulillah rezeki daripada Allah. Saya menang bukan sebab saya sendiri, tapi disebabkan oleh orang lain juga, atas doa mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:35 PM