MIRNAWAN terima keputusan hoki digugurkan dari RTG
MIRNAWAN terima keputusan hoki digugurkan dari RTG
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menerima keputusan jawatankuasa Road To Gold (RTG) menggugurkan pasukan hoki dari program berkenaan.

Mirnawan berkata, sebelum ini pasukan hoki menepati kriteria untuk berada dalam program selepas menduduki ranking kesembilan dunia namun jatuh ke ranking ke-12 selepas gagal menyerlah di Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.

Namun begitu, beliau mengambil ini sebagai satu motivasi untuk pemain tampil lebih garang pada aksi kelayakan Olimpik Paris 2024 pada awal tahun depan.

"Saya harap pemain mendapat bermotivasi tinggi dan berikan yang terbaik supaya kita layak ke Sukan Olimpik dan ranking kita mungkin ketika itu akan lebih baik dan berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

"Saya pasti jawatankuasa akan pertimbangkan semula hoki berada dalam RTG," katanya.

Sementara itu Pengerusi RTG yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap atlet yang berada dalam program RTG akan menunjukkan prestasi yang konsisten agar peluang memenangi pingat di Paris lebih cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 5:55 PM