HANIS Nazirul mengungguli acara akhir terjun papan anjal kategori 1 meter individu. FOTO Hazreen Mohamad
HANIS Nazirul mengungguli acara akhir terjun papan anjal kategori 1 meter individu. FOTO Hazreen Mohamad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sudah empat tahun Hanis Nazirul Jaya Surya tidak menyertai acara papan anjal, tapi pada percubaan terakhirnya dalam acara 1 meter (m) individu lelaki akhirnya membuahkan hasil dengan merangkul emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Hanis Nazirul yang mewakili Wilayah Persekutuan hanya meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal individu pada sebelah pagi, namun di sebelah petang dia berjaya mengetepikan gemuruh akibat sudah lama tidak menyertai acara berkenaan dengan mengumpul 325.05 mata.

"Sudah lama saya tidak beraksi dalam acara papan anjal, kali terakhir di Sukma Perak 2018. Selepas itu fokus saya hanya kepada acara platform. Memang ada sedikit gementar sejak dari pagi, rasa sangat lain," katanya selepas tamat saingan sebentar tadi.

Penerjun berusia 21 tahun itu berkata, acara berkenaan adalah penampilan terakhirnya di Sukma selepas mula bertanding sejak 2012 di Pahang.

"Alhamdulillah saya berjaya menebus kekecewaan di acara sebelah pagi, jadi saya sangat berpuas hati. Mungkin terjunan ketiga dan keempat yang membolehkan saya berjaya melebarkan jurang untuk meraih emas. Terjunan kelima dan keenam saya hanya buat mana yang termampu sahaja.

"Saya juga sedar Rhodict (Bertrand Rhodict Lises) mempunyai darjah kesukaran paling sukar serta mampu membuat terjunan jauh lebih cantik," katanya yang turut beraksi di Sukan Komanwel Birmingham Ogos lalu.

Bertrand dari Sarawak hanya berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 318.80 mata, manakala gangsa milik seorang lagi penerjun Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi (268.40 mata).

Ditanya mengenai aksinya selepas ini, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) jurusan komunikasi, itu berkata dia akan fokus kepada saingan Grand Prix Fina di Kuala Lumpur.

"Saya juga akan fokus kepada dua-dua acara (platform dan papan anjal) selepas ini. Bagaimanapun, ia terpulang kepada jurulatih. Sebab selepas ini mungkin senior sudah bersara, kami pula akan naik ke acara papan anjal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:41 PM