GABRIEL meraikan kejayaan selepas mengungguli acara akhir terjun papan anjal  3 meter individu. FOTO Hazreen Mohamad
GABRIEL meraikan kejayaan selepas mengungguli acara akhir terjun papan anjal 3 meter individu. FOTO Hazreen Mohamad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet terjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim membuktikan kehebatannya apabila terus mempamerkan terjunan cemerlang selepas meraih emas berganda di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dalam acara tiga meter (m) papan anjal individu lelaki sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, penerjun berusia 21 tahun berjaya mengutip 390.30 mata menerusi terjunan cemerlang untuk mengungguli tangga teratas.

Pingat perak menjadi milik Bertrand Rhodic dari Sarawak yang memperoleh 353.95 mata, manakala gangsa pula dirangkul Hanis Nazirul Jaya Surya, yang mewakili Wilayah Persekutuan (348.60 mata).

"Sejujurnya ada juga rasa (Sukma kali ini) diberi saingan tapi saya cuma lakukan yang terbaik saja dalam terjunan tadi untuk diri sendiri," katanya meraih perak di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama Syafiq Puteh dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki Ogos lalu.

Dia yang pernah mengambil bahagian di Kejohanan Dunia di Budapest Jun lalu turut berpuas hati dengan persembahan hari ini sekali gus mengetepikan dua lagi penerjun skuad negara.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keenam-enam terjunan yang dilakukan, terutama sebab ini Sukma terakhir, saya seronok sebab dapat (yang dihajatkan).

"Ada juga beberapa terjunan yang menyebabkan saya melakukan kesilapan tadi, tapi saya rasa okay saja. Masa itu, mungkin saya rasa gemuruh sebab saya belum mahir lagi untuk buat yang terbaik. Lagipun semasa beraksi, ada macam macam perasaan kan," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas Sukma, pemenang pingat perak acara 3m papan anjal individu lelaki Sukan Sea Hanoi itu akan menyertai Grand Prix Fina Kuala Lumpur pada November depan yang juga bertempat di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Gabriel mengakui masih belum meletakkan sasaran di kejohanan itu dan akan cuba mempamerkan aksi terbaik bagi menempatkan dirinya di kedudukan podium.

Semalam Gabriel berjaya meraih emas dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki ketika bergandingan bersama Juffadli Jali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 2:48 PM