TIMBALAN Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias. FOTO Bernama
TIMBALAN Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang dengan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berhubung beberapa isu sukan angkat berat di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, termasuk pengiktirafan rekod kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan PABM untuk membolehkan rekod kebangsaan dilakukan di Sukma diterima, memandangkan ia adalah pencapaian dilakukan atlet bertanding.

"Mungkin akan ada perselisihan faham sedikit dan kami akan berunding dengan pihak persatuan supaya rekod dicipta ini diiktiraf kerana apa yang paling penting adalah atlet itu sendiri.

"Ini kerana mereka (atlet) sudah menunjukkan prestasi dan memecah rekod (kebangsaan), jadi kita perlu menghargai pencapaian dilakukan mereka itu," kata Suhardi selepas melakukan lawatan ke venue angkat berat, hari ini.

Semalam, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu mengumumkan untuk menarik diri daripada mengendalikan sukan itu pada Sukma kali ini.

Ia susulan tiga atlet dari dua negeri positif penggunaan doping, sekali gus memaksa PABM 'meninggalkan' Sukma dengan mengikut ketetapan seperti diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet itu dan atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.

Susulan itu, MSN mengambil pendirian untuk mengambilalih tugas pengendalian sukan itu memandangkan setiap negeri sudah membuat persiapan rapi selain atlet turut sama menantikan temasya ini sejak edisi lalu di Perak 2018.

"Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia ke-20 MSN 2022 membuat keputusan pertandingan dalam acara Sukma ini perlu diteruskan memandangkan semua negeri sudah melaksanakan program latihan mereka.

"Kami merasakan adalah tanggungjawab kami untuk memastikan semua atlet muda ini diberikan peluang menonjolkan kebolehan mereka dan ini adalah platform yang sudah lama ditunggu mereka, lebih daripada empat tahun mereka menunggu.

"Dengan kerjasama daripada petugas berpengalaman dalam penganjuran sukan angkat berat, kami membuat keputusan untuk meneruskan acara ini dan Alhamdulillah, pada pagi ini semua berjalan lancar," kata Suhardi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 5:26 PM