AKSI Aznil ketika meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham. -FOTO NSTP
AKSI Aznil ketika meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Badang negara Muhamad Aznil Bidin mahu tampil lebih bersedia apabila menjadikan Kejohanan Asia 2022 sebagai persediaan untuk menggegarkan pentas Dunia di Colombia, hujung tahun ini.

Kejohanan Asia yang bakal berlangsung di Bahrain pada Oktober ini, mengisi jadual terbaharu buat pemenang pingat emas kategori 61 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum memulakan langkah pemburuan mata ranking kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Colombia.

Aznil berkata, dia tidak mahu lagi toleh ke belakang apabila meletak sasaran untuk meraih kejayaan pada penyertaan di Kejohanan Dunia kelak.

"Saya baru dimaklumkan akan menyertai Kejohanan Asia di Bahrain pada Oktober ini. Tentunya kejohanan ini akan menjadi pemanas badan terbaik sebelum aksi kelayakan yang bermula pada Disember ini.

"Untuk Asia ini, ia masih tidak menawarkan kutipan mata. Namun saya akan cuba memberikan saingan kepada peserta lain terutama dari pencabar utama dari China dan Indonesia," katanya.

Atlet berusia 28 tahun itu turut memaklumkan, rakan seperjuangan di Sukan Komanwel Birmingham, Mohamad Aniq Kasdan juga akan bersama-samanya di Bahrain beraksi dalam kategori sama, 61 kilogram (kg) lelaki.

Di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aznil merangkul emas dalam kategori disertainya itu dengan angkatan keseluruhan 285 kilogram (kg) iaitu 127kg dalam snatch dan 158kg untuk clean & jerk 158kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel.

Pingat perak dimenangi atlet Papua New Guinea, Morea baru yang melakukan angkatan keseluruhan 274kg manakala gangsa diraih wakil India, Guruja Poojary menerusi angkatannya, 269kg.

Malah kejayaan di National Exhibition Center (NEC), Birmingham itu juga secara tidak langsung membolehkannya mempertahankan kilauan emas yang dimenangi pada temasya 2018 di Gold Coast, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:36 PM