JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menunjukkan pingat emas dimenangi bagi kategori 55kg di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO ROHANIS SHUKRI
JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menunjukkan pingat emas dimenangi bagi kategori 55kg di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO ROHANIS SHUKRI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan bersedia menukar kategori dalam usahanya untuk beraksi buat kali pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 20 tahun itu harus beralih kepada kategori 61 kilogram (kg) kerana kategori 55kg yang menyaksikannya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022, tidak dipertandingkan di Paris 2024.

"Saya fikir tiada masalah untuk beraksi dalam kategori 61kg, saya percaya tiada apa yang mustahil.

"Lagipun, saya tiada pilihan… mahu atau tidak, saya perlu tukar kategori untuk layak ke Sukan Olimpik. Jurulatih (Yon Haryono) pun percaya dengan saya dan saya perlulah yakin dengan kemampuan diri.

"Saya akan terus fokus dan bekerja keras untuk meningkatkan lagi prestasi. Selepas ini saya akan menyertai beberapa kejohanan bermula dengan Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember untuk mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Minggu lalu, atlet kelahiran Segamat, Johor itu cemerlang apabila mengumpul keseluruhan angkatan sebanyak 249kg bagi disiplin snatch dan clean & jerk untuk memenangi emas pertama kontinjen negara dan mencatat rekod temasya di Birmingham 2022.

Jika menukar kategori, Aniq akan bersaing dengan rakan sepasukan, Muhamad Aznil Bidin yang meraih emas dalam kategori 61kg di Birmingham 2022, untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sudah pasti Aznil lebih unggul berbanding saya, tetapi saya tidak akan mengalah begitu saja dan akan cuba sedaya upaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 4:10 PM