ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin, 28, yang memenangi pingat emas dan mencatat rekod baharu Sukan Komanwel Birmingham 2022 disambut orang ramai ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin, 28, yang memenangi pingat emas dan mencatat rekod baharu Sukan Komanwel Birmingham 2022 disambut orang ramai ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022, jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mensasarkan untuk layak kali pertama ke Sukan Olimpik Paris 2024 pula.

Atlet berusia 28 tahun itu akan memulakan misinya untuk layak ke Olimpik menerusi Kejohanan Angkat Berat Dunia yang akan berlangsung di Colombia, Disember depan.

"Selepas saja tamat saingan Sukan Komanwel, saya tetap meneruskan latihan di Birmingham.

"Saya pulang ke Kedah tetapi tetap akan berlatih seperti biasa kerana di sana pun ada pusat latihan yang saya boleh gunakan.

"Saya perlu menyertai enam kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik dengan dua daripadanya adalah Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou tahun depan. Jadi, saya perlu buat persiapan terbaik.

"Saya dan jurulatih (Yon Haryono) akan bincang mengenai program latihan dan strategi kami untuk menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik. Saya percaya peluang ke Olimpik ada selagi saya bekerja keras untuk meningkatkan prestasi saya," katanya.

Aznil cemerlang di Birmingham 2022 apabila menjadi penyumbang emas kedua buat kontinjen Malaysia selepas mengungguli saingan bagi kategori 61 kilogram (kg).

Atlet negara itu melakukan angkatan keseluruhan 285kg sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Kejayaan itu menyaksikan dia berjaya mempertahankan gelaran dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Selain mensasarkan layak ke Paris 2024, Aznil turut menyimpan impian untuk muncul atlet angkat berat pertama negara memenangi pingat di Sukan Asia Hangzhou pada September tahun depan.

"Walaupun persaingan di Sukan Asia lebih sengit, tetapi saya percaya peluang tetap ada untuk memenangi pingat.

"Lagipun, angkatan saya dengan atlet Vietnam (Trinh Van Vinh yang memenangi perak di Sukan Asia Jakarta 2018) tidak terlalu jauh beza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:52 PM