ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin memenangi pingat emas kategori 61kg. FOTO ASWADI ALIAS
ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin memenangi pingat emas kategori 61kg. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Skuad angkat berat negara yang pulang esok, boleh disifatkan sebagai paling cemerlang pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pasukan diketuai Amirul Hamizan Ibrahim dan dibimbing jurulatih Yon Haryono dan Nur Jannah Batrisyah itu berjaya menggegarkan National Exhibition Center (NEC) apabila merangkul dua emas dan satu perak.

Pingat kejuaraan itu diperoleh menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg).

Perak pula melalui Muhammad Erry Hidayat bagi kategori 73kg, sekali gus menyamai pencapaian pada temasya terakhir di Gold Coast, Australia, empat tahun lalu.

"Ya, kami memang gembira dan puas hati. Kami bukan saja berjaya mencapai sasaran, malah berjaya mendapat bonus pingat.

"Kami sebenarnya meletakkan sasaran untuk menang satu emas, satu perak dan satu gangsa menerusi Aznil, Erry dan Aniq.

"Alhamdulillah, kami sebaliknya dapat dua emas menerusi Aznil dan Aniq selain satu perak dari Erry. Kami jangka Erry boleh dapat emas, tapi dia masih belum sembuh daripada jangkitan demam denggi, maknanya kami mendapat lebih daripada apa yang disasarkan," kata kata Amirul Hamizan ketika ditemui bagi mengulas pencapaian skuad angkat berat negara di Birmingham 2022.

Skuad negara menghantar tujuh peserta termasuk dua wanita.

Selain Aznil, Aniq dan Erry, atlet lain adalah Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg), Elly Cascandra Engelbert (55kg) dan Marceeta Marylyne Marcus (59kg).

Mereka menjalani latihan persiapan di Lampung, Indonesia selama 30 hari yang dicemarkan dengan masalah beberapa atlet dijangkiti demam denggi.

Empat tahun lalu, skuad negara meraih dua emas menerusi Aznil dan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (55kg) serta perak menerusi Muhamad Fazrul Azrie Mohdad (85kg).

Mengulas lanjut, Amirul Hamizan berkata, atlet negara akan menumpukan kepada dua kejohanan iaitu Sukan Malaysia (Sukma) dan kejohanan dunia di Colombia.

Menurutnya, Aniq, Erry dan Elly akan beraksi pada temasya Sukma dengan mewakili Johor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

"Bagi kejohanan dunia, kita bakal menghantar Aznil, Aniq dan Erry.

"Sehubungan itu, kami berharap MSN dapat mempertimbangkan rayuan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memasukkan sukan angkat berat ke dalam program sukan teras.

"Ia penting bagi membantu melahirkan dan mengembangkan bakat muda yang bakal menjadi pelapis kepada atlet sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 9:35 PM