PEMAIN Jerman, Alexander Zverev terbaring selepas cedera di separuh akhir Terbuka Perancis pada 3 Jun lalu. FOTO FAIL REUTERS
PEMAIN Jerman, Alexander Zverev terbaring selepas cedera di separuh akhir Terbuka Perancis pada 3 Jun lalu. FOTO FAIL REUTERS
AFP

Paris: Pemain tenis nombor dua dunia, Alexander Zverev menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) berikutan belum pulih daripada kecederaan koyak ligamen buku lali, umum penganjur kejohanan, hari ini.

Zverev, 25, tidak beraksi sejak mengalami kecederaan itu di separuh akhir Terbuka Perancis menentang Rafael Nadal pada Jun lalu.

Dia meninggalkan gelanggang tanah liat di Roland Garros dengan kerusi roda dan sejak itu menjalani pembedahan berikutan tiga ligamen buku lali kanannya koyak.

Pemain Jerman itu tewas di final Terbuka AS 2020 kepada Dominic Thiem, walaupun mendahului dengan dua set, sebelum layak ke separuh akhir kejohanan pada tahun lalu.

Dia masih memburu gelaran sulung Grand Slam, sekalipun menang lima trofi Masters dan dua trofi ATP Finals.

Tempatnya di undian utama di kejohanan bakal berlangsung mulai 29 Ogos hingga 11 September itu akan diisi pemain AS, Stefan Kozlov.

Zverev bermain di 27 Grand Slam berturut-turut sejak penampilan pertama pada 2015 sebelum kecederaan itu menyebabkan dia tidak dapat menyertai Wimbledon.

Dia disenaraikan bersama pasukan Jerman untuk beraksi di peringkat kumpulan Piala Davis, bulan depan.

Zverev mungkin bukan satu-satunya pemain dalam kelompok 10 terbaik yang tidak dapat beraksi di acara Grand Slam terakhir tahun ini kerana Novak Djokovic dijangka tidak bermain berikutan keengganannya mendapatkan vaksin Covid-19.

Juara acara utama sebanyak 21 kali itu tidak dibenarkan bermain di Masters Cincinnati, minggu lalu dan Montreal, pada awal bulan ini kerana alasan sama.

Dia turut dihantar pulang dan tidak dibenarkan bermain di Terbuka Australia, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 10:19 AM