ZVEREV kembali turun ke gelanggang. FOTO EPA
ZVEREV kembali turun ke gelanggang. FOTO EPA
AFP

Paris: Alexander Zverev menewaskan pemenang Grand Slam tiga kali, Stan Wawrinka dalam Piala Davis ketika bintang Jerman itu kembali ke gelanggang buat kali pertama sejak dibebaskan daripada kes penderaan domestik.

Zverev yang berusia 25 tahun menewaskan Wawrinka 6-4, 6-1 di Trier untuk membantu Jerman menyamakan kedudukan dengan Switzerland pada hari pembukaan kelayakan.

Selasa lalu, Zverev diberitahu oleh ATP bahawa terdapat 'bukti yang tidak mencukupi' untuk menyokong dakwaan terhadapnya yang dikatakan mendera bekas teman wanita.

Bekas pemain nombor dua dunia Zverev sentiasa menafikan dakwaan itu, menyifatkan sebagai tidak berasas.

Wawrinka, yang membantu negaranya memenangi Piala Davis 2014, kembali ke pertandingan berpasukan buat kali pertama selepas lapan tahun.

Dia yang menduduki tangga ke-135 dunia, ditewaskan buat kali kelima dalam lima pertemuan dengan Zverev.

"Saya fikir adalah penting untuk menghadapi perlawanan esok dengan keputusan 1-1," kata Zverev selepas hanya mencatat kemenangan kedua dalam perlawanan dalam tempoh lapan bulan.

Dia terlepas enam bulan terakhir musim 2022 kerana mengalami kecederaan ligamen buku lali pada Jun semasa kekalahan separuh akhir Terbuka Perancis kepada Rafael Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:18 PM