BERSAMA pasukan Malaysia ketika memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi.
BERSAMA pasukan Malaysia ketika memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi.
Hafiz Ithnin


"SAYA masih ingat lagi ketika kanak-kanak, saya dan ibu berganti-ganti menjaga adik ketika bermain bola tampar di berek polis. Siapa sangka pada usia kira-kira lima tahun saya sudah belajar bermain bola tampar hingga menjadikan saya atlet dalam sukan itu.

"Saya bermain secara serius sehingga mampu mewakili pasukan Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) sejak berusia 13 tahun sehingga 17 tahun," katanya.

Namun, pada 2018 bola tampar tidak lagi dipertandingkan dalam Sukma menjadikan anak kelahiran Terengganu itu mula mencari sukan baharu untuk diceburi.

Darah sukan si pemilik nama Siti Nur Azwani Nor Azli ini sudah sebati dengan dirinya. Malah, lebih menarik hampir semua lapan adik-beradiknya terbabit dalam dunia sukan berbeza.

Katanya, ketika tercari-cari sukan yang ingin disertainya, wanita berusia 24 tahun yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Olahragawati Terengganu 2023 itu disarankan ibunya, Siti Aishah Khiu Abdullah untuk mengikuti jejak abangnya, Noor Azizan dalam sukan karate.

"Pada awalnya saya agak janggal kerana tidak pernah langsung terbabit dalam sukan yang mempunyai kontak kerana sebelum ini hanya terbabit dalam bola tampar dan futsal.

"Apabila mencuba sukan pertahanan diri ini sesuatu yang baharu memerlukan saya belajar banyak teknik. Saya masih ingat di awalnya tapak kaki saya sentiasa melepuh ketika berlatih pada usia 18 tahun," katanya.

Tambahnya lagi, tidak sekadar itu, dia juga masih teringat situasi merendam kaki dengan air garam bagi memastikan lepuh di tapak kaki dapat dipulih segera untuk bersedia dalam satu kejohanan yang disertainya.

"Sejak berada dalam dunia sukan karate saya nekad menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pingat kerana dalam sukan bola tampar sebelum ini tidak pernah lagi berada dalam kedudukan tiga terbaik.

MEMORI bersama keluarga ketika bercuti di Sarawak.
MEMORI bersama keluarga ketika bercuti di Sarawak.

"Jadi, saya berazam dan berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan cita-cita saya tercapai. Syukur pada Sukma 2018 saya menyumbangkan gangsa untuk Terengganu dan pada Sukma 2020 pula pingat emas," katanya.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Siti Nur Azwani pastinya ketika menyertai satu kejohanan pada 2019, dia disepak di bahagian rusuk oleh atlet China yang mempunyai kedudukan 20 terbaik dunia sehinggakan hampir tidak boleh bernafas.

"Saya ingat lagi jurulatih menjerit supaya saya bangun dan ketika itu keadaan saya amat sakit. Tidak tahu di mana datang kekuatan di saat akhir saya dapat memberi sepakan sehingga berjaya mengalahkannya walaupun ketika itu saya sudah ketinggalan mata agak jauh," katanya.

AKSI Siti Nur Azwani ketika menentang atlet Filipina di Sukan Sea Filipina 2019.
AKSI Siti Nur Azwani ketika menentang atlet Filipina di Sukan Sea Filipina 2019.

Jelas penuntut tahun dua Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi itu lagi, baginya usaha dan disiplin adalah perkara paling utama untuk terus menjadi atlet.

"Sukan karate amat menarik untuk disertai semua orang terutama wanita kerana ia juga boleh digunakan apabila untuk mempertahankan diri.

"Saya amat menggalakkan lebih ramai wanita menyertai sukan karate kerana ia juga boleh menjadi satu gaya hidup sihat yang baik untuk diri sendiri," katanya.

Jelasnya lagi, dia juga menyertai skuad kebangsaan pada 2019 bertekad untuk mengalung pingat sukan itu di peringkat antarabangsa kepada negara.

"Pada saya tiada yang mustahil seperti saya beralih dari sukan bola tampar yang disertai sejak kanak-kanak sehingga berusia 17 tahun kemudian dalam tempoh setahun saya mampu menjadi atlet dalam sukan karate.

"Bagi saya usaha adalah perkara paling penting dan sentiasa berdisiplin untuk mempersiapkan diri menyertai sebarang kejohanan pada masa akan datang," katanya.

Ditanya mengenai personalitinya, Siti Nur Azwani berkata, ramai yang menyangkakan dia adalah atlet angkat berat bukan karate kerana ketinggiannya.

BERSAMA rakan sepasukan karate.
BERSAMA rakan sepasukan karate.

"Ramai yang terkejut sekiranya mereka tidak mengetahuinya kerana mungkin saya tidak begitu tinggi yang lazimnya atlet karate agak tinggi. Selain itu, bentuk badan saya yang agak sasa menyebabkan mereka menyangkakan saya atlet angkat berat," katanya.

Antara pencapaian Siti Nur Azwani, ASEAN University Games Thailand (satu emas dan satu perak), World University Combat Sport di Turki (satu gangsa), Sukan Sea Vietnam (satu gangsa), Finland Open (dua gangsa), Turkey Open (satu perak) dan South East Asean Karate Filipina (satu emas).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 7:00 AM