EMMA pemain harapan Britain.
EMMA pemain harapan Britain.
AFP

Washington: Juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat, Emma Raducanu dari Britain mara ke suku akhir Terbuka Washington selepas memenangi aksi 'maraton' yang berlangsung dalam cuaca panas.

Pemain berusia 19 tahun itu menewaskan pemain Colombia, Camila Osorio 7-6 (7/5), 7-6 (7/4) yang berlanjutan dua jam 50 minit sekaligus aksi dua set terpanjang di WTA tahun ini.

"Ini perlawanan paling fizikal pernah saya alami," kata Emma. "Ia perlukan usaha sepenuh tenaga mengharunginya.

"Namun saya gembira dan bangga menang. Ia memberikan saya keyakinan apabila berdepan aksi seperti ini."

Emma akan menentang Liudmila Samsonova di suku akhir yang sebelum itu menewaskan Ajla Tomljanovic 4-6, 6-3, 6-2.

Ia aksi suku akhir ketiga Emma sejak meraih gelaran Grand Slam di New York tahun lalu.

Dia mara ke saingan lapan terbaik di Cluj-Napoca Oktober lalu dan Stuttgart pada April dan masih belum beraksi di separuh akhir sejak menjulang trofi di Flushing Meadows September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 10:13 AM