ANAK lelaki Presiden Bashar al-Assad, Hafez al-Assad. Foto/AFP
ANAK lelaki Presiden Bashar al-Assad, Hafez al-Assad. Foto/AFP
AFP

ANAK lelaki Presiden Bashar al-Assad mengambil bahagian dalam Pertandingan Matematik Antarabangsa di Romania dan meminta dilayan seperti pelajar biasa, kata pegawai pendidikan semalam.

Hafez al-Assad, 16, antara 615 pelajar yang menyertai pertandingan tahunan itu dan tahun ini, ia diadakan di tengah bandar Cluj-Napoca hingga Sabtu ini.

Dia mengambil bahagian pada pertandingan tahun lalu di Rio de Janeiro di Brazil dan berada pada kedudukan 528 daripada 615 peserta.

“Dia mahu dilayan seperti pelajar biasa dan dia sendiri berkelakuan seperti pelajar.

“Dia mendaftar masuk ke hotel bersama-sama pelajar lain dari 18 negara,” kata ketua pemeriksa sekolah di bandar itu, Valentin Cuibus.

Setiap negara diwakili sekumpulan enam pelajar.

Menurut laporan media Romania, kawalan keselamatan dipertingkatkan sempena acara itu.

Romania adalah antara segelintir negara Eropah yang masih mempunyai kedutaan di Syria yang dilanda perang lebih tujuh tahun dan sudah meragut lebih 350,000 nyawa, manakala jutaan lagi kehilangan tempat tinggal dan memusnahkan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 8:54 AM