ONS wanita pertama Afrika mara ke separuh akhir Terbuka AS. -FOTO AFP
ONS wanita pertama Afrika mara ke separuh akhir Terbuka AS. -FOTO AFP
AFP

New York: Pemain Tunisia Ons Jabeur mencatatkan satu lagi sejarah dalam dunia tenis apabila menjadi wanita Afrika pertama mara ke separuh akhir Terbuka AS selepas mencatatkan kemenangan straight set ke atas Ajla Tomljanovic.

Ons menjadi wanita pertama dari Afrika mara ke final Wimbledon Julai lalu itu, mara ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan 6-4, 7-6 (7/4) di Arthur Ashe Stadium.

Pemain berusia 28 tahun itu akan menentang pilihan ke-12, Coco Gauff atau pilihan ke-17 dari Perancis, Caroline Garcia di aksi separuh akhir nanti.

Ajla mara ke suku akhir selepas mempamerkan aksi mantap menyingkirkan Serena Williams pada pusingan ketiga yang mungkin menjadi perlawanan terakhir buat juara Grand Slam sebanyak 23 kali itu sebelum bersara.

Ons berkata, dia mendapat keyakinan selepas mara ke final Wimbledon dan berharap kejayaannya akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk pemain tenis wanita Afrika.

"Ia sangat bermakna bagi saya," kata Ons.

"Saya lebih percaya pada diri sendiri. Selepas Wimbledon ia sangat positif. Walaupun saya tewas pada perlawanan akhir, saya tahu saya mampu untuk menang Grand Slam dan di sini saya berada di separuh akhir Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 11:54 AM