AKSI Emma selepas memungut mata  ketika menentang Shelby. FOTO EPA
AKSI Emma selepas memungut mata ketika menentang Shelby. FOTO EPA
AFP

New York: Pemain remaja British, Emma Raducanu menyamai pencapaian pemain kelayakan yang mara paling jauh dalam sejarah Terbuka Amerika Syarikat apabila layak ke suku akhir di Stadium Arthur Ashe.

Pemain berusia 18 tahun itu menewaskan pencabar dari Amerika Syarikat, Shelby Rogers 6-2, 6-1 dan menempah aksi lapan terakhir dengan pilihan ke-11 dari Switzerland, Belinda Bencic.

"Saya berasa sangat yakin dan gembira dengan prestasi saya di sini,'' kata Emma. "Saya rasa permainan saya bertambah baik pada setiap perlawanan dan saya teruja menunggu aksi seterusnya."

Emma, tampil kali pertama di WTA pada Jun lalu dan mara ke pusingan keempat Wimbledon selepas terhenti susulan pandemik Covid-19.

"Saya sangat hargai detik ini,'' kata Emma. "Mara ke suku akhir Terbuka AS selepas 18 bulan tidak beraksi sangat menakjubkan.''

Virginia Wade, juara Terbuka AS 1968 yang juga pemenang terakhir dari Britain turut memberi sokongan kepada Emma.

''Virginia duduk di depan sekali,'' kata Emma. "Saya lihat dia, bercakap sedikit dengannya selepas perlawanan. Mendapat tip dari legenda memang berbaloi."

Dia turut mendapat nasihat daripada juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray bagi mengurangkan gemuruh pemain menduduki ranking ke-150 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 10:37 AM