BONNIE (kiri) dan Pandelela akan turun memburu emas dalam acara masing-masing, esok.
BONNIE (kiri) dan Pandelela akan turun memburu emas dalam acara masing-masing, esok.
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Dua jaguh dunia yang menjadi antara atlet negara disandarkan harapan untuk meraih pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Bonnie Bunyau Gustin dan Datuk Pandelela Rinong akan turun beraksi, esok.

Pada ketika kontinjen negara sudah berjaya mengutip tiga emas daripada enam yang menjadi sasaran setakat ini, sudah pasti tumpuan terarah kepada kedua-duanya untuk mencipta kecemerlangan pada final masing-masing nanti.

Bonnie yang juga pemenang pingat emas powerlifting temasya Paralimpik Tokyo 2020 dan juara dunia 2019 serta 2021, dijadual bersaing dalam acara lightweight di National Exhibiton Center (NEC) pada 4 petang esok.

"Mohon rakyat Malaysia doakan kejayaan Bonnie," kata pengurus pasukan powerlifting negara, Jamil Adam ketika diminta mengulas mengenai peluang Bonnie meraih pingat emas, esok.

"Secara keseluruhannya Bonnie sudah bersedia dari mental dan fizikal untuk acara final lightweight ini. Tiada tekanan dan dia sudah menjalani latihan rapi sebaik tiba di sini."

Bonnie, 23, yang ditemui sebelum ini berkata, dia sudah sedia mengharumkan negara di Birmingham 2022, sekali gus mencipta sejarah buat sukan powerlifting negara.

"Saya mahu mencipta satu lagi sejarah dan mengharumkan nama negara dengan memenangi emas. Itu keutamaan saya. Sudah pasti saya berusaha sebaiknya, sama seperti kejohanan lain seperti Olimpik untuk mencapai sasaran itu," katanya,

Birmingham 2022 adalah temasya Sukan Komanwel kedua disertai Bonnie selepas kali pertama di Gold Coast, Australia pada 2018.

Pada penyertaan sulung itu, dia terlepas pingat apabila menduduki tangga keempat.

Sementara itu, Pandelela akan turun bagi acara 10 meter (m) platform di Pusat Akuatik Sandwell, dekat sini, esok bagi pusingan awal dan terus ke final jika layak.

Sebagai rekod, Pandelela berjaya menyumbang emas dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya Cheong Jun Hoong pada Gold Coast 2018.

Sebelum datang ke sini, dia yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 dan gangsa Olimpik London 2012, berjaya memenangi dua gangsa iaitu bagi acara 10m platform selain bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary.

"Keputusan di Budapest memberi semangat tambahan buat saya, namun saingan di Komanwel bukan calang-calang dan saya perlu berusaha lagi.

"Penerjun yang saya bakal hadapi pun orang lain. Berdasarkan pengalaman saya, apa-apa boleh terjadi (di Birmingham). Apa pun saya harap mampu memberi yang terbaik dan tuah memihak kepada saya dan rakan sepasukan," katanya sebelum berangkat ke sini pada Sabtu lalu.

Pengurus pasukan negara, Datuk Leong Mun Yee berkata, semua atlet negara sudah bersedia untuk berentap termasuk Pandelela.

"Persiapan atlet kita berjalan lancar setakat ini. Bagi temasya ini, kita sasarkan dua pingat. Di Gold Coast empat tahun lalu, kita berjaya meraih satu emas dan dua gangsa," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad terjun negara, Li Rui percaya anak buahnya mampu mempersembahkan terjunan terbaik di Birmingham 2022 selepas melupakan kegagalan membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tanpa kuasa besar dunia, China, saingan utama Pandelela dan atlet terjun lain negara pada temasya ini adalah daripada Australia, Kanada dan tuan rumah, England.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 5:03 PM