PENERJUN negara bergambar sebagi tiba di Birmingham.
PENERJUN negara bergambar sebagi tiba di Birmingham.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong sudah melupakan pencapaian kurang memberangsangkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu.

Kini, dia hanya mahu memikirkan apa yang bakal ditempuhi buat masa sekarang terutama sekali di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menurut penerjun berusia 29 tahun itu, dia sudah lama melupakan apa yang berlaku di Tokyo 2020 dan buat dirinya lebih baik hanya fokus kepada perkara yang berlaku sekarang bukannya mengenang sejarah lalu.

"Saya sudah lupakan (aksi buruk di Olimpik Tokyo 2020), sudah pun boleh meneruskan (kehidupan seperti biasa).

"Saya hanya fikirkan mengenai waktu sekarang (Sukan Komanwel Birmingham 2022)," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Di Tokyo 2020, Pandelela menduduki tempat ke-12 dalam final 10 meter (m) platform wanita individu, manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee bagi saingan 10m platform seirama wanita pula berakhir dengan kedudukan tempat kelapan.

Bagaimanapun, Pandelela bangkit semula tahun ini di Kejohanan Dunia apabila membawa pulang dua gangsa dalam acara sama termasuk ketika bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri bagi saingan seirama wanita.

"Keputusan di Budapest ada memberi semangat tambahan buat saya, namun saingan di Komanwel bukan calang-calang dan saya perlu berusaha lagi.

"Penerjun yang saya bakal hadapi pun orang lain. Mengikut pengalaman saya, apa-apa boleh terjadi (di Birmingham). Apa pun saya harap mampu memberi yang terbaik dan tuah milik saya," katanya yang pernah meraih dua emas di Komanwel pada 2010 (New Delhi) dan 2018 (Gold Coast).

Ditanya mengenai satu emas yang disandarkan kepada skuad terjun negara, Pandelela berterima kasih di atas harapan diletakkan itu kepadanya dan rakan sepasukan.

Menurutnya, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dihajati.

Sasaran emas negara di Birmingham 2022 disandarkan kepada Pandelela bersama-sama Nur Dhabitah; beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; pasangan boling padang, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji; atlet angkat berat, Muhamad Aznil Bidin; atlet gimrama, Koi Sie Yan dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

Walaupun tanpa kuasa besar sukan terjun, China di Birmingham 2022, Pandelela mengakui pencabar dari negara Komanwel tidak boleh dipandang ringan.

"Ada Australia, ada Kanada dan ada England, banyak negara mampu memberikan saingan.

"Jadi saya perlu fokus kepada diri sendiri dan pasukan," katanya yang pernah meraih satu perak dan satu gangsa di Olimpik pada 2012 (London) dan 2016 (Rio).

Selain Pandelela dan Nur Dhabitah, skuad terjun negara ke Birmingham 2022 diperkuatkan Muhammad Syafiq Puteh, Ooi Tze Liang, Gabriel Gilbert Daim, Chew Yi Wei, Jellson Jabillin, Bertrand Rhodict Lises, Hanis Nazirul Jaya Surya, Ong Ker Ying, Kimberly Bong dan Ng Yan Yee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 1:07 PM