PANDELELA (kiri) dan Dhabitah menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka dalam kejohanan terjun Kejohanan Dunia FINA kali ke 19 ketika majlis menyambut kepulangan atlet pasukan terjun dari Budapest. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PANDELELA (kiri) dan Dhabitah menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka dalam kejohanan terjun Kejohanan Dunia FINA kali ke 19 ketika majlis menyambut kepulangan atlet pasukan terjun dari Budapest. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berdasarkan pencapaian di Kejohanan Dunia di Budapest, skuad terjun negara tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang dua pingat di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022

Tanggungjawab berkenaan sudah pasti digalas penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri yang meraih gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama di Budapest.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee, skuad kali ini terutama Pandelela dan Nur Dhabitah dilihat mampu untuk mengukir warna pingat lebih baik berbanding gangsa di Budapest namun enggan terlalu memberikan tekanan kepada penerjun.

"Saya rasa setakat ini, sasaran kita adalah pingat tetapi bukan emas. Kita tak mahu memberikan tekanan kepada penerjun tetapi tidak mustahil (emas) sekiranya melihat kepada prestasi mereka," kata bekas penerjun negara itu.

Di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 gandingan Cheong Jun Hoong-Pandelela meraih emas dalam acara 10m platform seirama, manakala Mun Yee-Nur Dhabitah menambah gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama.

Skuad terjun akan dibarisi 12 penerjun sama yang beraksi di Sukan SEA Vietnam 2021 baru-baru ini dengan menyertai 11 acara daripada 12 yang dipertandingkan di Pusat Akuatik Sandwell nanti.

"Untuk 1m lelaki tak ada (sertai) kerana ada banyak acara kali ini seperti campuran seirama, jadi kita cuma memberikan tumpuan kepada acara di mana kita lebih kuat. Saya harap penerjun boleh menunjukkan prestasi mereka yang terbaik dan jangan terlalu tertekan dan kita boleh membuat kejutan," kata Mun Yee.

Mun Yee, 37, turut menjelaskan yang skuad terjun wanita mempunyai kekuatan dalam acara 10m individu, 10m seirama, 3m seirama manakala acara tumpuan bagi lelaki adalah di 3m seirama.

"Untuk lelaki kita fokus kepada 3m seirama. Untuk individu sangat sukar kerana ia turut disertai pemenang pingat di Sukan Olimpik dan tentunya ia sukar," kata Mun Yee yang pernah beraksi di lima Sukan Olimpik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 2:26 PM