CABAR adrenalin anda dengan aktiviti rakit redah jeram di Sungai Selangor.
CABAR adrenalin anda dengan aktiviti rakit redah jeram di Sungai Selangor.
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Kubu Bharu disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Garden City Heritage.

Pekan ini dibina pada tahun 1928 selepas banjir yang memusnahkan ibu kota daerah lama Hulu Selangor.

Kuala Kubu Bharu kaya dengan aktiviti eko pelancongan seperti mendaki di Bukit Kutu, menempuhi air terjun Chiling, water tubing dan juga menunggang basikal gunung.

Acara sukan tahunan sering diadakan setiap tahun di sini seperti luncur layar, pertandingan basikal gunung dan rakit redah jeram.

Berikut adalah beberapa destinasi eko pelancongan yang ditawarkan di Kuala Kubu Bharu:

PEMANDANGAN menakjubkan menanti pendaki di puncak Bukit Kutu.
PEMANDANGAN menakjubkan menanti pendaki di puncak Bukit Kutu.

1. Bukit Kutu

Bukit Kutu adalah sebuah bukit bersejarah dengan laluan mendaki sepanjang 6.5 kilometer (km) yang mencabar dan membawa anda melalui pelbagai bentuk muka bumi, hutan tebal dan lintasan sungai. Secara purata, pejalan kaki mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk melengkapkan pendakian ke puncak membabitkan ketinggian 1,053 meter. Salah satu keunikan Bukit Kutu ialah kehadiran runtuhan zaman penjajah. Runtuhan ini adalah peninggalan stesen bukit kolonial British yang pernah wujud di atas bukit ini dan menawarkan gambaran sekilas mengenai masa lalu Selangor. Puncak Bukit Kutu berfungsi sebagai tempat pemerhatian. Dari sini, anda boleh menikmati pemandangan bukit, hutan dan lembah di sekitarnya. Kepada semua pendaki yang merancang untuk mendaki Bukit Kutu, sila dapatkan permit dari Pejabat Hutan Daerah.

BUKIT Batu Pahat untuk pendakian santai.
BUKIT Batu Pahat untuk pendakian santai.

2. Bukit Batu Pahat

Terletak berhampiran dengan Kuala Kubu Bharu, Bukit Batu Pahat ialah tempat mendaki yang popular di Hulu Selangor yang tidak memerlukan permit atau bayaran selain banyak tempat letak kenderaan di Taman Tasik Millenium tersedia untuk pendaki. Terletak 426 meter dari paras laut, secara purata ia mengambil masa satu hingga dua jam untuk sampai ke puncaknya. Bukan sahaja tempat mendaki ini disukai ramai pendaki, malah ia juga adalah tempat berlepas untuk peluncur layar.

3. Rakit redah jeram di Sungai Selangor

Alami pengalaman mengembara yang menyeronokkan di Sungai Selangor dengan mencuba aktiviti meredah jeram. Hanya satu jam pemanduan dari Kuala Lumpur, sungai ini mempunyai gred deras 2-4 jadi jika anda ingin mencuba aktiviti lasak, sungai ini adalah salah satu tempat yang mesti anda lawati. Pengunjung juga akan disediakan dengan pakej minuman dan makan tengahari di sungai. Jangan ketinggalan untuk lawati sungai ini dan kongsi keseronokan anda dengan keluarga serta rakan-rakan di tempat pengembaraan pelancongan yang menyeronokkan sekiranya anda melawat Selangor.

AKTIVITI ‘water tubing’ yang menyeronokkan di Sg Chiling.
AKTIVITI ‘water tubing’ yang menyeronokkan di Sg Chiling.

4. Water Tubing di Sungai Chiling

Jika anda tidak pernah mencuba water tubing, ia adalah aktiviti di mana pengunjung boleh terapung di permukaan air dengan pelampung yang disediakan. Aktiviti santai yang menyeronokkan ini boleh didapati di Sungai Chiling, Hulu Selangor. Selepas pemasangan tiub selesai, pengunjung boleh menuju ke air terjun dan kawasan perlindungan ikan berhampiran untuk menikmati persekitaran yang lebih santai selepas perjalanan yang panjang ke sini. Anda juga boleh berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan di tepi sungai sambil menikmati keindahan air terjun Sungai Chiling. Jadi, rancang perjalanan anda sekarang ke Hulu Selangor dan pastikan anda mengunjungi Sungai Chiling!

SUNGAI Pertak dikenali sebagai destinasi memancing dan berkhemah.
SUNGAI Pertak dikenali sebagai destinasi memancing dan berkhemah.

5. Sungai Pertak

Sungai Pertak mengalir dan menelusuri kawasan peninggalan masyarakat Orang Asli dan masuk ke Empangan Sungai Selangor. Dikenali sebagai destinasi memancing dan berkhemah untuk keluarga dan pelawat dari Kuala Lumpur, peminat pacuan empat roda dan penunggang motosikal juga turut menyusuri beberapa laluan yang merentangi sungai. Sungai ini juga berfungsi sebagai titik permulaan untuk pendaki ke Bukit Kutu. Untuk pengunjung yang ingin melawat kawasan pelancongan ini, pengunjung boleh mengambil jalan utama ke Kampung Pertak sehingga ke penghujung Kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:20 AM