PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Shahrul Zaman pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Shahrul Zaman pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya menyahut cabaran untuk membawa pulang enam pingat emas, malah tidak menolak berlakunya kejutan meraih lebih daripada sasaran.

Bagaimanapun, Shahrul berkata, berdasarkan kedudukan terkini skuad negara, sasaran itu perlu realistik dan yakin semua 105 atlet yang akan mengibarkan cabaran negara di temasya itu akan berusaha untuk meraih lebih banyak lagi pingat.

"Skuad negara kini berada di dalam keadaan terbaik, cuma saya ingin memohon untuk menjaga diri dan mengelak daripada aspek kecederaan.

"Saya bimbang kecederaan pada saat terakhir akan mengganggu persediaan atlet negara. Kalau tak ada kecederaan kita memang boleh capai apa yang disasarkan," katanya.

Shahrul berkata, beliau turut yakin barisan atlet negara terutama terjun mampu menyelamatkan maruah negara dengan menyumbangkan pingat buat negara.

Selepas penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, prestasi penerjun di Kejohanan Dunia di Budapest menerusi gandingan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri yang meraih gangsa acara 10m platform terjun seirama memberi sinar buat kontinjen negara.

Malah, pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee ketika ditemui turut meluahkan keyakinan kemampuan barisan penerjun negara untuk menghadiahkan pingat.

"Kita ada peluang cerah dalam acara wanita seperti dalam acara 10m platform individu dan seirama. Dalam acara 3m papan anjal seirama dan individu pun kita ada peluang, begitu juga dalam acara campuran yang dipertandingkan kali ini.

"Jadi saya yakin kita boleh buat kejutan di sana. Sekarang ini fokus kepada latihan dan pertandingan saja," katanya.

Kontinjen negara ke Birmingham 2022 merangkumi 105 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 2:17 PM