PANDELELA dan Dhabitah alami nasib berbeza di Birmingham.
PANDELELA dan Dhabitah alami nasib berbeza di Birmingham.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Di sebalik pulang dengan tangan kosong, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kagum dengan pencapaian penerjun muda negara yang beraksi di Sukan Komanwel Birmingham.

Jelas penerjun negara yang membuat penampilan kali keempat di Sukan Komanwel itu, masanya akan tiba untuk barisan penerjun negara menyerlah sekali gus menjadi pelapis kepada atlet berstatus senior sepertinya.

Pandelela juga mengakui dirinya bergelut dalam acara individu iaitu 10m platform wanita tetapi dapat melakukan terjunan yang agak baik menerusi acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri serta 10m platform seirama campuran dengan Jellson Jabillin.

"Saya gembira dengan gandingan kami terutama Jellson yang saya bekerjasama dan bertanding di sini (Sukan Komanwel) buat kali pertama.

"Dia beraksi dengan baik walaupun mengalami kecederaan. Tapi, saya amat bangga dengan pasukan terjun Malaysia, terutamanya penerjun muda yang beraksi dengan baik kali ini.

"Ini hanyalah permulaan, masanya akan tiba nanti. Kadangkala, anda perlu mengalami pengalaman naik dan turun untuk mendorong anda ke hadapan," katanya menerusi status di media sosialnya.

Pandelela turut berterima kasih kepada semua pihak yang kekal memberi sokongan kepadanya terutama barisan jurulatih serta rakan sepasukannya yang sentiasa memberi sokongan moral.

"Anda adalah sumber motivasi saya untuk terus menjadi penerjun. Saya akan membalas budi anda pada pertandingan saya yang seterusnya," katanya.

Ini kali pertama Pandelela tidak dapat meraih sebarang pingat di Sukan Komanwel sejak penyertaannya kali pertama di New Delhi 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 1:07 PM