FARNIDA Mohamed Norawi, salah seorang peserta Program.
FARNIDA Mohamed Norawi, salah seorang peserta Program.
Muhamaad Razis Ismail


"Saya ingin buktikan suri rumah juga mampu menjana pendapatan melalui pertanian," kata Farnida Mohamed Norawi, 49, salah seorang peserta Program Kebun Komuniti Tanaman Cili Bara menggunakan sistem Mini Fertigasi Taman Botani Bangi, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM).

Program ini dibiayai The All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) dan pihak Taman Botani Bangi memfokuskan kepada kumpulan ibu tunggal dan suri rumah, supaya dapat memainkan peranan yang besar dalam membangunkan ekonomi keluarga serta memperkasakan golongan ini agar boleh lebih berdikari, mewujudkan sumber pendapatan yang mampan dan persekitaran positif untuk membantu membangunkan potensi diri masing-masing.

Seramai 10 peserta dipilih dalam kalangan ibu tunggal dan suri rumah di Bandar Baru Bangi yang memenuhi kriteria berdasarkan pendapatan isi rumah, jenis kediaman dan bilangan ahli keluarga.

Farnida berkata, dia mengetahui mengenai program melalui kumpulan WhatsApp komuniti setempat berkenaan program penanaman fertigasi khas untuk suri rumah dan ibu tunggal b40.

Katanya, dia ingin meneroka peluang dan cabaran baru dalam bidang pertanian untuk menambah pendapatan dari rumah.

SURI rumah dan ibu tunggal dibantu menjana pendapatan melalui pertanian.
SURI rumah dan ibu tunggal dibantu menjana pendapatan melalui pertanian.

"Sebelum menyertai program ini, saya hanya pernah mendengar mengenai sistem fertigasi dan tidak pernah tahu bagaimana untuk menyediakan sistem itu sendiri.

"Melalui program ini, kami diajar secara teori dan praktikal dari semaian hingga ke teknik pemasaran moden di media sosial.

"Program ini sangat membantu untuk kami praktikkan sendiri di rumah atau di ladang dengan ilmu yang diberikan. Malah sistem fertigasi ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis tanaman lain.

"Saya merancang membuka kebun fertigasi di atas tanah sendiri di kampung dalam tempoh dua tahun ini," katanya selepas Program Penyerahan Set Mini Fertigasi Kebun Komuniti Taman Botani Bangi-APPGM SDG yang dirasmikan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Profesor Dr Chm Ishak Ahmad.

ANTARA pokok cili bara yang ditanam peserta dengan sistem fertigasi.
ANTARA pokok cili bara yang ditanam peserta dengan sistem fertigasi.

Sementara itu, bagi Nuryasmin Moktar, 38, penyertaannya dalam program ini kerana melihat potensi pertanian bandar boleh membantu mengurangkan kos perbelanjaan barang dapur di samping dapat menambah pendapatan isi rumah.

"Saya sudah menjadi suri rumah sepenuh masa selama 10 tahun. Melalui program ini dapat membuktikan suri rumah juga boleh menjalankan aktiviti pertanian dengan sistem fertigasi.

"Hasil tanaman boleh dijual kepada penduduk setempat selain pengusaha katering dan restoran berdekatan. Selain menjual cili, produk hiliran, anak pokok dan baja juga berpotensi mendapat sambutan dalam pasaran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Taman Botani Bangi, Profesor Dr Noraini Talip berkata, pertanian sistem fertigasi dipilih kerana ia antara kaedah pertanian moden, efisien, mudah diuruskan, selamat dan baik untuk alam sekitar selain boleh dilakukan dalam kawasan kecil .

"Tanaman cili bara dipilih kerana mempunyai permintaan tinggi dengan harga yang kompetitif dan boleh juga untuk kegunaan sendiri.

"Usaha ini dapat membantu peserta yang terbabit meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pertanian, pengurusan tanaman dan serangga perosak, pemasaran atas dan di luar talian serta mampu bergerak secara kumpulan dan individu.

"Manakala bagi pihak Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM pula, kami dapat merealisasikan hasrat mempertingkatkan hubungan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan masyarakat dalam usaha pemindahan ilmu untuk kehidupan yang lebih baik serta menambah nilai kepada peserta yang terbabit," katanya.

DR Noraini bersama sebahagian peserta.
DR Noraini bersama sebahagian peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:47 AM