WENDY (kanan) harap rezeki akan memihak kepadanya dan Syafiq di Sukan Komanwel nanti. FOTO Reuters
WENDY (kanan) harap rezeki akan memihak kepadanya dan Syafiq di Sukan Komanwel nanti. FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penerjun negara Ng Yan Yee mengharapkan nasib menyebelahinya dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan bermula 28 Julai ini.

Walaupun kurang menyerlah pada penyertaan Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary awal pagi tadi dengan menduduki tangga ketujuh bersama pasangannya Muhammad Syafiq Puteh namun dia mengharapkan kejayaan positif pada penyertaan di temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu, gandingan negara itu mengumpul 275.46 mata dan terpaksa akur tewas kepada pemenang pingat emas, Zhu Zifeng-Lin Shan dari China diikuti Matteo Santoro-Chiara Pellacani (Itali) dan James Heatly-Grace Reid (Great Britain).

Penerjun berusia 28 tahun itu berkata, dia tidak kecewa dengan kekalahan itu kerana melihat gandingannya bersama Syafiq menunjukkan kemajuan meskipun gagal menaiki podium acara berkenaan.

"Sekurang-kurangnya kami sudah mengetahui apa masalah kami dan masih ada masa untuk memperbaikinya sebelum Sukan Komanwel nanti.

"Harapnya rezeki akan memihak kepada kami di Sukan Komanwel nanti," katanya.

Olimpian negara itu selepas ini akan turun bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal seirama wanita pada 3 Julai ini.

Satu lagi acara campuran yang berlangsung awal pagi semalam menyaksikan gandingan Datuk Pandelela Rinong Pamg-Ooi Tze Liang pula meraih tempat kelima saingan 3m dan 10m berpasukan campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 3:41 PM