GAYA perenang Hungary, Kristof Milak selepas memecahkan rekod dunia acara 200m kuak kupu-kupu lelaki. FOTO REUTERS.
GAYA perenang Hungary, Kristof Milak selepas memecahkan rekod dunia acara 200m kuak kupu-kupu lelaki. FOTO REUTERS.
Reuters

Budapest: Perenang Hungary, Kristof Milak memecahkan rekod dunia sendiri dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki di Kejohanan Dunia, hari ini, untuk merangkul emas dengan catatan 1 minit 50.34 saat, manakala Amerika Syarikat (AS) memenangi tiga pingat emas.

Milak yang juga juara Olimpik memecahkan rekod dunia diciptanya di Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju dengan kepantasan 0.39 seconds dan menamatkan perlumbaan hari ini 3.03 saat di depan pemenang pingat perak, Leon Marchand dari Perancis.
Milak, 22, menggembirakan penyokong tuan rumah dengan menghadiahkan pingat emas pertama Hungary pada kejohanan kali ini.

"Ia adalah perasaan yang hebat. Sebaik melangkah ke kawasan permulaan, saya tidak dengar atau nampak apa-apa.

"Ia seperti berada di dalam mimpi. Saya menunggu tiga tahun untuk menghasilkan prestasi terbaik dan ia berlaku di tempat sendiri," katanya.

Perenang AS, Bobby Finke memenangi acara 800m gaya bebas lelaki dengan aksi sepantas kilat menuju ke garisan penamat mengatasi pencabar dari Jerman, Florian Wellbrock dan Ukraine, Mykhailo Romanchuk.

Kemenangan Finke itu melonjakkan semangat kem AS selepas juara dunia dan Olimpik acara 100m gaya bebas, Caeleb Dressel menarik diri di separuh akhir kedua-dua acara kerana masalah kesihatan.

Finke yang menduduki tempat keempat pada sebahagian besar perlumbaan dan masih di belakang tiga perenang pada pusingan terakhir, mencatatkan masa peribadi terbaik iaitu 7:39.36s.

Sama seperti dilakukan di Olimpik Tokyo 2020, Finke merancang rentak aksinya dengan baik apabila memecut laju pada 50m terakhir dalam masa 25.93s untuk mengatasi pencabar dari Eropah itu.

"Saya tahu perlu kekal bersama mereka dan bersedia untuk menggunakan kelebihan saya iaitu pusingan terakhir, Saya tahu jarak 50m itu akan menyakitkan, tetapi ia memang berbaloi," kata Finke.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 8:57 AM