MILAK ketika beraksi dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki. FOTO AFP
MILAK ketika beraksi dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pemegang rekod dunia, Kristof Milak memenangi pingat emas Olimpik acara 200 meter kuak kupu-kupu hari ini tetapi mendakwa seluar renangnya yang sedikit terkoyak punca dia gagal memperbaharui catatan itu.

Perenang Hungary berusia 21 tahun itu yang mengatasi rekod dunia Michael Phelps pada 2019 mencatat 1 minit 51.25 saat iaitu catatan baru Olimpik.

Ia dua saat lebih pantas berbanding perenang di tempat kedua dari Jepun, Tomoru Honda (1:53.73s) dan perenang Itali, Federico Burdisso (1:54.45s).

Tetapi Milak berkata dia mampu mencatat masa lebih baik jika seluarnya tidak terkoyak sebelum pertandingan yang menyebabkannya gagal memperbaharui rekod dunia.

"Ia sedikit terkoyak 10 minit sebelum saya terjun ke kolam dan ketika itu saya tahu rekod dunia sudah hilang,'' katanya sambil melemparkan pakaian renangnya dengan marah selepas tamat acara.

"Saya hilang fokus dan tahu saya tak dapat melakukannya...tetapi saya tetap gembira dengan pingat emas.''

Milak mempunyai catatan terbaik hampir dua saat berbanding pencabar lain dan perenang pilihan meraih emas.

Juara London 2012, Chad le Clos dari Afrika Selatan di tempat kelima yang juga Olimpik terakhirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 11:40 AM