AKTIVITI bersama peminat eratkan hubungan antara satu sama lain.
AKTIVITI bersama peminat eratkan hubungan antara satu sama lain.
Najiy Jefri


BAGI menghargai sokongan peminat dalam kerjaya seninya pelakon Hun Haqeem menganjurkan rumah terbuka di sebuah restoran di Sungai Long, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Buat julung kali juga lebih 200 peminat kelab peminatnya Huniversefc berkumpul dan meraikan sambutan perayaan bersama aktor kacak itu.

Teruja dapat meraikan Aidilfitri bersama peminat setianya, Hun menyifatkan pertemuan itu adalah satu kenangan indah yang sukar dilupakan.

Katanya, dia amat berterima kasih dan bersyukur kerana sentiasa dikelilingi oleh peminat yang sentiasa menyokong dan menyayangi kehadirannya dalam industri seni tanah air.

"Sepanjang bergelar artis saya tidak pernah mengadakan jamuan hari raya bersama kelab peminat. Selalunya saya dan peminat akan bersama-sama melakukan aktiviti khidmat sosial seperti mengecat bangunan sekolah yang dilakukan pada dua tahun lalu.

"Tak sangka jamuan hari raya yang diadakan ini mendapat sambutan yang positif daripada peminat. Saya rasa sangat terharu dan seronok apabila dapat menyambut hari raya bersama mereka.

"Pertemuan ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan kami dan memberi saya motivasi untuk lebih bekerja keras dan menghasilkan karya-karya yang terbaik.

"Selalunya saya akan memberitahu kelab peminat saya untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu program dalam setahun atau lebih supaya hubungan rapat ini berterusan dan tiada jurang antara kami," katanya.

Jamuan hari raya yang bermula jam 8 malam itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya persembahan istimewa daripada peminat Hun selain terdapat acara cabutan bertuah.

Sementara itu, mengenai perancangan kerjaya seni, Hun mengakui sebagai anak kelahiran Kuching, Sarawak dia ada menyimpan impian untuk bekerjasama dengan syarikat produksi dari Sarawak.

Katanya, dia ingin membintangi karya yang menceritakan kisah negeri Sarawak yang kaya dengan pelbagai budaya, bahasa dan tinggalan sejarah

"Saya teringin nak bekerjasama dengan syarikat produksi di Sarawak. Saya masih menunggu tawaran yang sesuai untuk dibawakan dan paling penting ceritanya mengisahkan negeri tempat saya membesar.

"Sarawak begitu kaya dengan budaya dan tinggalan sejarahnya. Saya percaya boleh membawakan apa saja karakter kerana saya boleh bertutur dalam dialek Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 6:46 AM