AKSI Milak  selepas menamatkan acara 200 meter kuak kupu-kupu semalam. - FOTO AFP
AKSI Milak selepas menamatkan acara 200 meter kuak kupu-kupu semalam. - FOTO AFP
AFP

MICHAEL Phelps menzahirkan kekagumannya terhadap teknik perenang remaja Hungary, Kristof Milak selepas dia mengatasi rekod dunia legenda Amerika Syarikat itu dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu di kejohanan dunia di Gwangju, Korea Selatan semalam.

Phelps menganggap catatan satu minit, 50.73 saat sebagai menakjubkan walaupun pada masa sama dia sedih rekod yang bertahan sejak 2009 itu akhirnya lebur.

"Ya memang saya kecewa menyaksikan rekod saya akhirnya diatasi tetapi saya juga gembira dengan cara dia melakukannya,” kata Phelps kepada New York Times.

"Budak itu pada 100 meter terakhir memang menakjubkan dan sukar dikejar sejak dari permulaan lagi.”

Milak yang berusia 19 tahun mencantas 0.78 saat rekod Phelps selepas beberapa kali dia menghampiri rekod dunia berusia 10 tahun itu musim lalu.

"Dia berusaha menggilap teknik sehingga menjadi cantik dan bekerja keras melakukannya. Saya tabik perenang muda ini.”

Milak muncul perenang pertama mencatat bawah 1:51 minit, tiga saat mengatasi pemenang pingat perak dari Jepun, Daiya Seto dan pemenang gangsa dari Afrika Selatan, Chad le Clos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:56 PM