SKUAD negara muncul naib juara di Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India. FOTO ROHANIS SHUKRI
SKUAD negara muncul naib juara di Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ramai pemain yang mampu menjaringkan gol dalam skuad hoki negara memberi petanda positif terutama menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou bulan depan.

Ia diakui sendiri oleh penyerang kelahiran Sabah, Shello Silverius yang boleh diletakkan kepercayaan merobek pintu gol lawan terutama melalui jaringan padang seperti yang dilakukannya di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India baru-baru ini.

"Di Sukan Asia nanti ia akan menandakan bahawa kita memberitahu pasukan lain bahawa bukan sahaja mampu menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti tetapi juga jaringan padang," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Malaysian Tigers yang muncul juara naib juara di kejohanan berkenaan menyaksikan tiga lagi pemain turut menyumbat empat termasuk Firhan Ashari, Azrai Aizad Abu Kamal dan Najimi Farizal Jazlan.

"Pertama sekali empat gol yang saya jaringkan ini adalah kerana mengambil peluang (di kejohanan berkenaan). Kebanyakkan penyerang berjaya menjaringkan gol.

"Muncul juara di Sukan Asia adalah sasaran utama, kerana kami mahu layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024. Kalah di ATC bukan beerti kalah selama-lamanya," katanya yang masuk sebagai pemain gantian ketika final Sabtu lalu.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadiun Mayor Radhakrishnan Sabtu lalu Malaysia tumpas kepada tuan rumah 3-4 namun ia adalah pencapaian terbaik selepas lima kali berturut-turut menduduki tempat ketiga.

"Untuk Olimpik ia menjadi idaman semua orang untuk ke sana, jadi jika diberikan tugas di Sukan Asia nanti saya berjanji akan memberikan yang terbaik," katanya yang juga menjadi tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia.

Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi di Olimpik ialah di Sydney pada 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:17 PM