TYSON Fury (kiri) melepaskan tumbukan ke arah Dillian Whyte pada pertarungan di Stadium Wembley, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
TYSON Fury (kiri) melepaskan tumbukan ke arah Dillian Whyte pada pertarungan di Stadium Wembley, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
AFP

London: Tyson Fury menegaskan 'tiada jumlah wang' mampu menariknya kembali semula ke gelanggang selepas juara tinju heavyweight WBC itu bersara susulan kemenangan ke atas Dillian Whyte.

Fury menewaskan petinju senegara dari Britain, Whyte di pusingan keenam, Sabtu lalu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kariernya.

Petinju berusia 33 tahun itu mengatakan akan bersara selepas kejayaan mempertahankan gelaran di hadapan 94,000 penonton di Stadium Wembley.

Tetapi, terdapat spekulasi mengatakan dia akan kembali ke gelanggang untuk menentang juara WBA, IBF dan WBO, sama ada Oleksandr Usyk atau Anthony Joshua, selepas perlawanan semula antara mereka dijadualkan pada musim panas ini.

Fury menafikan khabar angin itu ketika temu bual bersama Piers Morgan menerusi TalkTV, hari ini.

"Ini adalah kebenaran, memang benar, tiada yang lain kecuali benar belaka. Saya sudah selesai," katanya.

"Bila sesuatu itu akan cukup? Saya gembira, sihat. Saya masih waras, boleh bercakap, ada isteri yang cantik dan enam anak.

"Saya ada tali pinggang kemenangan, sejumlah wang. Saya mencapai kejayaan, kemasyhuran dan kemenangan. Untuk apa lagi saya mahu melakukannya?.

"Tinju adalah sukan sangat bahaya, anda boleh kecundang dengan hanya satu tumbukan seperti anda lihat Sabtu lalu. Ia hanya memerlukan satu tumbukan tidak bernasib baik dan anda tidak mampu bangun lagi dari kanvas.

"Saya bersara ketika berada di depan. Saya tidak pernah tewas, hanya lelaki kedua dalam sejarah yang bersara ketika tidak tewas sebagai juara heavyweight.

"Bagi saya, ia bukan kerana wang. Bagi ramai orang di seluruh dunia, semuanya mengenai wang, wang dan wang. Saya memiliki banyak wang, cukup untuk semua yang saya perlukan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 9:44 AM