TYSON Fury (kanan) menumbuk Dillian Whyte untuk menang KO di pusingan keenam di Stadium Wembley, Sabtu lalu. FOTO AFP
TYSON Fury (kanan) menumbuk Dillian Whyte untuk menang KO di pusingan keenam di Stadium Wembley, Sabtu lalu. FOTO AFP
Reuters

London: Dillian Whyte percaya juara tinju heavyweight WBC, Tyson Fury menolaknya ketika pertarungan merebut gelaran pada Sabtu lalu dan mahu perlawanan semula diadakan selepas KO secara teknikal di pusingan keenam di Stadium Wembley itu.

Fury menolak Whyte selepas melakukan tumbukan 'uppercut' ketika pertarungan berbaki sesaat di pusingan itu dan memaksa pengadil, Mark Lyson menghentikan perlawanan.

"Saya berdengung, tetapi cuba mengumpul tenaga dan dia menolak saya dengan sengaja menyebabkan saya terjatuh dan kepala terkena kanvas dan itu adalah tidak dibenarkan," kata Whyte kepada Sky Sports, semalam.

"Ini tinju, bukan gusti. Saya patut diberi lebih masa untuk pulih dan bangun melawan semula. Saya diperangkap, tidak sangsi lagi tetapi pengadil melakukan tugasnya dengan teruk."

Selepas perlawanan, Fury yang tidak pernah tewas dan memiliki rekod 32-0-1 berkata, dia mungkin akan bersara dan menunaikan janji kepada isterinya, tetapi Whyte berkata, dia tidak sabar untuk pertarungan semula.

"Dia (Fury) kata dia mahu bersara. Saya harap dia tidak bersara dan mahu melawannya sekali lagi," kata petinju berusia 34 tahun itu.

"Dia kata anda adalah pejuang yang bagus, pahlawan sebenar dan akan menjadi juara dunia. Saya bukan orang kalah selamanya. Ada masanya anda menang, ada masa kalah, itu adalah kehidupan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 8:00 AM