FURY (tengah) bakal bertemu Whyte. FOTO Reuters
FURY (tengah) bakal bertemu Whyte. FOTO Reuters
Reuters

London: Tyson Fury akan mempertahankan gelaran heavyweight WBC apabila bertemu Dillian Whyte di Britain hujung tahun ini, demikian pengesahan promoter juara bertahan itu.

"Queensberry dan Top Rank berbesar hati mengumumkan bahawa juara dunia WBC Tyson Fury akan mempertahankan gelarannya menentang Dillian Whyte.

"Lokasi dan tarikh perlawanan itu akan diumumkan dalam masa terdekat," kata promoter Fury, Frank Warren menerusi Twitter, hari ini.

Fury yang tidak pernah bertarung sejak menumbangkan Deontay Wilder pada pertemuan ketiga mereka Oktober tahun lalu mengalu-alukan pengumuman rasmi itu menerusi hantaran video di media sosial.

"Sangat gembira dan tidak sabar. Saya dan Dillian akan memberikan aksi terbaik," kata petinju berusia 33 tahun itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Top Rank, Bob Arum menambah: "Dillian Whyte memperolehi apa yang dimahukannya. Saya tidak sabar melihat Tyson Fury mempertahankan tali pinggang heavyweight pada pertemuan terbesar dalam sejarah tinju British."

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi sejak beberapa minggu lalu mengenai kemungkinan Fury bertemu juara WBA, WBO, IBF dan IBO, Oleksandr Usyk namun nampaknya ia tidak menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 2:44 PM