ARSYAD berkata, dia tekad untuk memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh masa sebelum Sukan Sea di Hanoi. FOTO OWEE AH CHUN
ARSYAD berkata, dia tekad untuk memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh masa sebelum Sukan Sea di Hanoi. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi yang kurang 'menyengat' dipamerkan jaguh pecut muda negara, Muhammad Arsyad Md Saat pada final 100 meter (m) Terbuka Singapura kelmarin ternyata meresahkan atlet berkenaan terutama menjelangnya Sukan Sea Hanoi di Vietnam.

Hal ini kerana, penyertaan di kejohanan berkenaan pelari berusia 20 tahun itu terlepas peluang untuk menaiki podium pada kejohanan antarabangsa pertamanya apabila sekadar meraih tempat keempat.

Lebih menyedihkan, catatannya iaitu 10.77 saat (s) juga adalah terendah dilakukannya dalam tahun ini selepas terdahulu mencipta 10.48s, 10.59s, 10.68s dan 10.63s.

Berikutan itu, Arsyad berkata, dia tekad untuk memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh masa sebelum Sukan Sea di Hanoi, Vietnam bermula 12 Mei depan.

"Catatan 100m saya pada aksi final hari ini (kelmarin) kurang baik. Mungkin sebab saya beraksi dalam keadaan berpuasa dan cuaca panas terik menyebabkan merasai dehidrasi.

"Apa-apa pun saya akan berusaha lebih baik lagi selepas ini kerana masih ada masa untuk tingkatkan setiap aspek larian saya," katanya.

Sementara itu, lagi wakil negara pada aksi final 100m itu iaitu Jonathan Nyepa berjaya meraih pingat emas dengan catatan 10.66s dan Muhammad Haiqal Hanafi memenangi gangsa menerusi masa 10.75s.

Pingat perak pula berjaya dimenangi atlet tuan rumah, Marc Brian Louis selepas merekodkan 10.67s.

Sebagai rekod, Malaysia menyenaraikan nama Arsyad dan Russel Alexander Nasir Taib untuk acara individu 100m pada Sukan Sea Hanoi bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 9:10 PM