ARSYAD (kiri) ketika beraksi dalam acara akhir 200m. FOTO Hairul Anuar Rahim
ARSYAD (kiri) ketika beraksi dalam acara akhir 200m. FOTO Hairul Anuar Rahim

Ferzalfie Fauzi, Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Naluri atlet pecut negara yang sedang meningkat naik, Muhammad Arsyad Md Saat kuat menyatakan yang gandingan kuartet 4x100 meter (m) lelaki Sukan Sea Vietnam 2021 bakal menyumbang pingat di Stadium My Dinh, esok.

Walaupun belum pasti warna pingat bakal diperoleh namun bagi Arsyad yang membuat penampilan kali pertama di temasya dwi tahunan itu percaya gandingan yang turut disertai Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Jonathan Nyepa bakal membuahkan hasil.

"Masa sesi latihan sebelum ini, kami nampak peluang untuk meraih pingat itu ada tetapi warnanya tidak tahu lagi," kata Arsyad.

"Insya-Allah akan cuba yang terbaik bersama rakan-rakan yang lain. Kami akan berusaha yang terbaik untuk negara."

Di temasya Filipina 2019, kuartet 4x100m yang disertai Nixson Kennedy, Haiqal, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib meraih perak dengan catatan 39.78 saat (s).

Pingat emas dimenangi Thailand yang disertai Ruttanapon Sowan, Bandit Chuangchai, Jirapong Meenapra dan Siripol Punpa yang mencatat 39.27s manakala Filipina (Anfernee Lopena, Clinton Bautista, Francis Medina dan Eric Cray) meraih gangsa.

"Saya nampak yang peluang itu cerah (meraih pingat) namun tekanan itu tetap ada. Apapun, kami perlu bijak menutralkan semula perasaan itu dan sentiasa berfikir positif untuk meraih kejayaan," katanya.

Semalam, Arsyad menamatkan acara final 200m lelaki dengan berada di tempat keempat keseluruhan, mencatat 20.95s.

Catatannya itu sekali gus memperbaiki catatan rekod peribadinya selepas mencatat 21.20s pada aksi saringan di sebelah pagi.

Selain acara 200m dan 4x100m, atlet dari Johor itu turut disenaraikan untuk menyertai acara 100m lelaki yang dijadual berlangsung pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 12:42 PM