LAMONT Marcell Jacobs. -FOTO AFP
LAMONT Marcell Jacobs. -FOTO AFP
AFP

Ancona, Itali: Lamont Marcell Jacobs memenangi acara pecut 60 meter (m) pada Kejohanan Dalam Dewan di Ancona, Itali perlumbaan pertamanya di tempat sendiri sejak merangkul emas berganda di temasya Olimpik Tokyo.

Pelari berusia 27 tahun itu melepasi garisan penamat dengan catatan 6.55s untuk meneruskan rentak kemenangan sejak kembali ke trek selepas enam bulan memenangi acara 100m dan 4x100, di Jepun Ogos tahun lalu.

Kemenangan itu adalah yang keempat berturut-turut dalam acara 60m dalam dewan ketika dia sedang bersedia untuk beraksi di Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Belgrade yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini.

Bagaimanapun catatan masa itu lebih pelahan berbanding ketika dia melakarkan kemenangan di Lievin, Lodz dan Berlin.

"Saya tidak dapat mencari apa yang saya inginkan dan akan berusaha untuk mendapatkannya pada kejohanan yang lain tapi apa yang penting saya menangi perlumbaan ini," katanya.

"Semua yang kami lakukan adalah persiapan ke Belgrade," kata

Jacobs yang beraksi dalam acara 60m untuk mendapat rentak apabila beraksi dalam acara 100m nanti.

Dia kini berusaha keras menjelang kemungkinan pertembungan dengan juara dunia Christian Coleman di Kejohanan Dunia Julai ini di Eugene, Amerika Syarikat.

Coleman tidak beraksi di Tokyo kerana digantung selepas menghilangkan diri daripada ujian doping.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 11:22 AM