JACOBS akan beraksi dalam acara pecut 100m di Nairobi. FOTO AFP
JACOBS akan beraksi dalam acara pecut 100m di Nairobi. FOTO AFP
AFP

Nairobi: Juara Olimpik, Lamont Marcell Jacobs bakal beraksi kali pertama dalam acara pecut 100 meter (m) pada kejohanan Kip Keino Classic, esok sejak melakukan kejutan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.

Jacobs dan juga pemenang pingat perak, Fred Kerley akan bertemu buat kali pertama sejak Sukan Olimpik lalu.

Pertembungan mereka berlangsung enam minggu selepas Jacobs meraih emas dalam acara 60m kejohanan dalam dewan dunia di Belgrade.

Jacobs membuat penampilan sulungnya di Nairobi dan bakal sekali lagi bersaing dengan Kerley yang pada September tahun lalu mencatat masa terbaik 19.76s dalam acara 200m.

"Amat penting bagi saya untuk memenanginya kali ini dan saya berharap dapat berlari lebih pantas daripada sebelum ini," kata Jacobs.

Antara pesaingnya yang lain adalah rakan senegara, Fillipo Tortu dan pemegang rekod 100m dari Kenya serta Afrika, Ferdinand Omanyala.

Kerley yang mempunyai catatan masa terbaik 9.84 saat, tidak sabar untuk beraksi di trek yang sudah dikenalinya.

"Saya gembira dan tidak sabar untuk berlari di Kasarani. Ia tempat di mana saya berjaya mencatat rekod peribadi dalam acara 200m pada September tahun lalu," kata pelari Amerika itu yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-27, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 10:46 AM