BUDIAK (kiri) bersama juara dan pemenang tempat ketiga Tour du Rwanda di Kigali. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
BUDIAK (kiri) bersama juara dan pemenang tempat ketiga Tour du Rwanda di Kigali. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba dari Ukraine, Anatolii Budiak mengharumkan nama Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) apabila mengakhiri kempen di tangga kedua keseluruhan pada Tour du Rwanda yang berakhir di Kigali hari ini.

Budiak, yang baru menyertai TSG awal tahun ini, gagal mengatasi pemenang jersi kuning Natnael Tesfatsion dari pasukan Drone Hopper-Androni Giocattoli apabila ketinggalan 26 saat di belakang pelumba dari Eritrea itu.

Pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan peringkat kelapan dan terakhir sejauh 75.3 kilometer di sekitar ibu negara Rwanda di tangga kesembilan dengan Tesfatsion satu anak tangga di belakangnya dan mencatat masa sama.

Seorang lagi pelumba import TSG dari Eritrea, Metkel Eyob menamatkan kempen lapan peringkat pada perlumbaan kategori 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa itu di tangga ke-12 keseluruhan, merosot satu anak tangga berbanding hari sebelumnya.

"Satu cara paling hebat untuk menamatkan kempen pada perlumbaan Tour du Rwanda kami. Anatolii Budiak di tempat kedua dalam klasifikasi umum keseluruhan selepas peringkat akhir yang sukar.

"Satu kempen yang menakjubkan, syabas kepada pelumba dan kru pasukan, tahniah!" menurut TSG dalam akaun rasmi Instagram mereka @terengganupolygoncyclingteam.

Budiak, yang pernah muncul juara keseluruhan Tour of Mevlana di Turki tahun lalu bersama pasukan terdahulunya Spor Toto Cycling Team, mengungguli peringkat keenam Tour du Rwanda kelmarin sekali gus meletakkannya dalam kedudukan terbaik untuk berakhir di podium.

Tesfatsion muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 23 jam 25 minit 34 saat manakala Jesse Ewart dari Ireland (Bike Aid) di tangga ketiga, 48 saat di belakang pemenang.

Pelumba muda TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff di tangga ke-59 keseluruhan manakala Mohd Shahrul Mat Amin terkeluar daripada persaingan selepas tidak menamatkan perlumbaan peringkat keenam.

Bagi kedudukan keseluruhan, TSG yang mengungguli Tour of Sharjah (UAE) dan Tour of Antalya (Turki) sebelum ini, menamatkan kempen di tangga kelapan keseluruhan daripada 16 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 10:59 PM