BUDIAK kini menjadi sandaran TSG untuk mencabar jersi kuning di Tour du Rwanda. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam
BUDIAK kini menjadi sandaran TSG untuk mencabar jersi kuning di Tour du Rwanda. Foto Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba import Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Anatolii Budiak dari Ukraine terus mempamerkan kayuhan bertenaga apabila berada dalam kelompok tiga teratas selepas peringkat kelima jelajah berbasikal Tour du Rwanda semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan peringkat kelima dari Muhanga ke Musanze sejauh 129.9 kilometer di tangga kesembilan dengan masa tiga jam 12 minit 34 saat, 20 saat di belakang pemenang peringkat Alexandre Geniez dari Perancis (Total Energies).

Keputusan itu membolehkannya melonjak satu anak tangga dalam kedudukan keseluruhan bagi merebut jersi kuning apabila mengumpul 13 jam 57 minit 58 saat, hanya enam saat di belakang pendahulu keseluruhan Angel Madrazo dari Sepanyol (Burgos-BH).

Sepanjang kariernya selama lapan tahun, Budiak memenangi jersi kuning sekali pada Tour of Mevlana tahun lalu ketika mewakili pasukan bertaraf benua Spor Toto Cycling Team dari Turki.

Seorang lagi pelumba import TSG dari Eritrea, Metkel Eyob turut memperbaiki kedudukan jersi kuning apabila meningkat tujuh anak tangga ke tangga ke-11 keseluruhan selepas mengakhiri peringkat kelima di tangga ke-15.

"Pelumba kami semakin meningkat dalam kedudukan GC (keseluruhan) hari demi hari. @anatolii_budiak kini menduduki tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan selepas meraih tempat kesembilan pada peringkat kelima. Manakala @metkel_eyob melonjak ke tangga ke-11 keseluruhan.

"Teruskan rentak baik ini, hanya tiga peringkat lagi untuk ditamatkan @tour_du_rwanda," menurut catatan TSG dalam akaun rasmi Instagram mereka @terengganupolygoncyclingteam.

Dua pelumba tempatan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Mohd Shahrul Mat Amin turut memperbaiki kedudukan mereka sekalipun masih berada jauh di belakang.

Nur Aiman kini di tangga ke-68 keseluruhan manakala Shahrul ke-74.Dari segi kedudukan berpasukan, TSG bagaimanapun sukar untuk mengulangi kejayaan mengungguli Tour of Sharjah (UAE) dan Tour of Antalya (Turki) baru-baru ini apabila mereka kini terperosok di tangga ke-11 daripada 18 pasukan dengan berbaki tiga peringkat untuk ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:36 PM