NOVAK Djokovic. FOTO AFP
NOVAK Djokovic. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemain nombor satu dunia dan pemenang 20 gelaran Grand Slam, Novak Djokovic yang tidak dibenarkan beraksi di Terbuka Australia kerana tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19, akan menyertai saingan ATP Indian Wells bulan depan.

Djokovic adalah pemenang lima kali di Indian Wells di mana penganjur mengumumkan bukti vaksinasi penuh diperlukan untuk kemasukan penonton ke gelanggang sepanjang kejohanan dari 7 hingga 20 Mac.

Bintang Serbia itu mensasarkan untuk memenangi Terbuka Australia bulan lalu sekali gus cuba melakar rekod memenangi 21 gelaran Grand Slam, namun dia tidak dibenarkan memasuki Australia kerana tidak mengambil suntikan vaksin.

Visa Djokovic kemudian dibatalkan dan selepas melalui proses rayuan, dia diusir dari negara itu sekali gus tidak dapat beraksi.

Sensasi Sepanyol, Rafael Nadal yang juga berada dalam senarai untuk beraksi di Indian Wells, memenangi Terbuka Australia sekali gus mencipta sejarah memenangi Grand Slam ke-21.

Pihak penganjur Indian Wells menerusi satu kenyataan berkata, bukti vaksinasi diperlukan untuk kejohanan itu namun pada masa sama berkata protokol bagi pemain termasuk Djokovic akan diputuskan oleh ATP selaras dengan peraturan sekatan di Amerika Syarikat (AS).

"Dengan faktor kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan di kejohanan ini, Terbuka BNP Paribas memerlukan bukti vaksinasi penuh untuk memasuki Indian Wells Tennis Garden.

"Garis panduan untuk pemain adalah berdasarkan kepada protokol yang ditetapkan oleh badan induk masing-masing, WTA dan ATP serta sebarang sekatan yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat berhubung status vaksinasi pengembara luar yang memasuki negara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 10:42 AM