DJOKOVIC terpaksa melupakan kejohanan di AS. FOTO Reuters
DJOKOVIC terpaksa melupakan kejohanan di AS. FOTO Reuters
AFP

Indian Wells: Novak Djokovic menarik diri daripada menyertai kejohanan ATP Masters di Indian Wells dan Miami bulan ini susulan peraturan ketat berkaitan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS).

Djokovic, yang tidak mengambil vaksin, berkata peraturan yang memerlukan orang luar divaksin terlebih dulu sebelum memasuki AS memaksanya untuk menarik diri.

"Saya tahu memang sukar untuk saya ke sana. CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS) mengesahkan peraturan itu tidak akan diubah jadi saya tidak dapat bermain di Amerika Syarikat. Selamat maju jaya kepada mereka yang bermain di kejohanan hebat ini," kata Djokovic.

Penyertaan Djokovic di dua kejohanan berprestij AS itu menjadi tanda tanya berdasarkan peraturan ketat mereka, tetapi nama Djokovic tersenarai dalam undian di Indian Wells.

Juara Grand Slam 20 kali berusia 34 tahun itu adalah juara lima kali di Indian Wells.

Januari lalu, dia dilarang memasuki Australia untuk mempertahankan gelarannya di Terbuka Australia - kejohanan yang dimenanginya sembilan kali untuk mendahului senarai juara sepanjang zaman.

Tempatnya dalam undian utama di Indian Wells akan digantikan Grigor Dimitrov, dan tempat pemain Bulgaria itu akan diisi pemain yang tewas dalam pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 12:54 PM