AKSI Djokovic ketika menentang  Djere.
AKSI Djokovic ketika menentang Djere.
AFP

Belgrade: Novak Djokovic bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan Laslo Djere dalam aksi pembukaan kejohanan ATP di Belgrade awal pagi tadi sekali gus mengelak kekalahan ketiga berturut-turut.

Pemain nombor satu dunia itu ketinggalan 3-4 pada set kedua sebelum berjaya menundukkan lawan senegaranya dari Serbia 2-6, 7-6 (8/6), 7-6 (7/4) dalam masa tiga jam 21 minit.

Juara Grand Slam 20 kali hanya bermain tiga kejohanan musim ini selepas dia dihantar pulang daripada menyertai Terbuka Australia berikutan isu status vaksinasi Covid-19.

Djokovic juga terlepas Indian Wells dan Terbuka Miami di Amerika Syarikat (AS). Dia turut tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas kepada pemain Czech, Jiri Vesely di Dubai pada Februari lalu.

Djokovic pulang menyertai Monte Carlo Masters minggu lalu tetapi turut ditewaskan Alejandro Davidovich Fokina pada perlawanan pertamanya.

Dia sekadar memerhatikan seterunya Rafael Nadal memenangi Terbuka Australia untuk rekod kejuaraan perseorangan Grand Slam kali ke-21 sekali gus mengatasi pencapaian Djokovic dan Roger Federer.

Djokovic berharap dapat merebutnya kembali di Terbuka Perancis pada 22 Mei depan di mana dia adalah juara bertahan selepas menewaskan Stefanos Tsitsipas pada perlawanan akhir epik tahun lepas.

Ia dilihat permulaan sukar pada 2022 bagi pemain berusia 34 tahun itu. Namun, dia tetap mempamerkan semangat yang tinggi walaupun tidak berada pada tahap terbaik.

Djokovic seterusnya berdepan seorang lagi rakan senegara, Miomir Kecmanovic pada peringkat suku akhir selepas menang 6-4, 7-6 (7/5) ke atas pemain Australia, John Milman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:28 AM