NOVAK Djokovic. FOTO EPA
NOVAK Djokovic. FOTO EPA
Reuters

Los Angeles: Novak Djokovic menarik diri daripada kejohanan Indian Wells, kata penganjur sekali gus memberi petunjuk permohonan pemain nombor satu dunia itu untuk pengecualian vaksin Covid-19 bagi memasuki Amerika Syarikat (AS) mungkin gagal.

Pemain Serbia itu, salah seorang atlet paling berprofil tinggi yang tidak mengambil vaksin berkenaan, memohon kepada kerajaan AS bulan lalu untuk mendapatkan kebenaran khas beraksi di ATP Masters di Indian Wells dan Miami.

"Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic telah menarik diri daripada Terbuka BNP Paribas 2023.

"Dengan penarikan dirinya, Nikoloz Basilashvili akan diberi peluang beraksi," kata penganjur dalam satu kenyataan, hari ini.

AS pada masa ini melarang warga asing yang tidak divaksin daripada masuk ke negara itu, satu dasar yang dijangka ditarik semula apabila kerajaan menamatkan pengisytiharan kecemasan Covid-19 pada 11 Mei depan.

Djokovic tidak beraksi di saingan ATP Masters di Indian Wells dan Miami, dua kejohanan terbesar dalam kalendar ATP sejak 2019.

Tiada mana-mana wakil daripada pasukan Djokovic dapat memberi reaksi segera berhubung penarikan dirinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:28 AM