FAIRUL Iqwal terpaksa membuka gerai kecil menjual air kopi di tepi jalan untuk bertahan selepas digugurkan daripada skuad negara. FOTO Ihsan Fairul Iqwal Abdul Muin
FAIRUL Iqwal terpaksa membuka gerai kecil menjual air kopi di tepi jalan untuk bertahan selepas digugurkan daripada skuad negara. FOTO Ihsan Fairul Iqwal Abdul Muin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Fairul Iqwal Abdul Muin meluahkan rasa kecewanya selepas kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) tidak disambung pada saat akhir.

Dia kini terpaksa membuka gerai kecil menjual air kopi di tepi jalan untuk bertahan selepas digugurkan daripada skuad negara minggu lalu.

"Bagi saya, tindakan mereka (MSN) agak kejam apabila memaklumkan perkara ini hanya pada penghujung tahun.

"Sekiranya mereka memberi tahu beberapa bulan lebih awal, kami sekurang-kurangnya mempunyai masa untuk membuat persediaan," katanya.

Fairul adalah salah seorang atlet daripada sejumlah atlet yang digugurkan dari skuad negara selepas pemotongan bajet kerajaan yang drastik akan di laksanakan tahun depan.

MSN minggu lalu mengesahkan bahawa mereka akan mengurangkan bilangan atlet sepenuh masa di bawah program iaitu daripada 432 kepada 288 tahun depan berikutan kekurangan sumber apabila kerajaan sedang mengalihkan tumpuannya kepada inisiatif pemulihan Covid-19.

Mengulas mengenai situasinya itu, Fairul menjelaskan MSN mengambilnya sebagai atlet sepenuh masa daripada majikannya iaitu sebuah institusi perbankan negara. Yang mana dalam tempoh itu MSN akan membayar gaji kepadanya dan bukan bank berkenaan.

"Jika MSN beri tahun lebih awal, saya boleh kembali bekerja di bank tapi sudah terlambat sebab majikan saya sudah mengambil pengganti sementara yang mana kontraknya akan tamat pada Jun.

"Sehingga tempoh itu, saya perlu berusaha sendiri untuk mencari pendapatan dan pada usia saya yang 30 tahun ini dan mempunyai tiga anak isteri yang perlu ditanggung saya perlu mencari pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.

Justeru Fairul yang meraih emas pada Sukan Malaysia 2006, 2008, 2010 dan 2012 berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain membuka gerai kecil di tepi jalan dan mengembangkan perniagaan penstriman langsung yang dimulakannya awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 7:56 PM