Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (dua kiri) menerima kurniaan sumbangan RM300,000 daripada Sultan Muhammad V yang disampaikan oleh Penglola  Istana D'Raja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar (dua kanan). FOTO FACEBOOK DATUK AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (dua kiri) menerima kurniaan sumbangan RM300,000 daripada Sultan Muhammad V yang disampaikan oleh Penglola Istana D'Raja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar (dua kanan). FOTO FACEBOOK DATUK AHMAD YAKOB
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sultan Muhammad V memperkenan mengurniakan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada rakyat Palestin.

Menurut baginda, kurniaan itu bagi menzahirkan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin akibat kezaliman zionis Israel.

Kurniaan itu diserahkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

Menurut hantaran itu, penyerahan kurniaan berkenaan disampaikan oleh Penglola Istana D'Raja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar disaksikan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Sulit Kanan Kepada KDYMM Sultan Muhammad V, Datuk Nik Shafriman Nik Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad menjunjung kasih diatas pengurniaan perkenan Tuanku itu.

Kurniaan itu menunjukkan keperihatinan, kebersamaan serta solidariti Tuanku diatas situasi getir bumi Al-Aqsa sekarang ini.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis.

Ahmad berkata, sumbangan itu akan disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:06 PM