KUARTET Itali (dari kiri), Jonathan Milan, Francesco Lamon, Filippo Ganna dan Simone Consonni memecahkan rekod dunia ketika menang emas berbasikal kejar-mengejar berpasukan lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
KUARTET Itali (dari kiri), Jonathan Milan, Francesco Lamon, Filippo Ganna dan Simone Consonni memecahkan rekod dunia ketika menang emas berbasikal kejar-mengejar berpasukan lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Shizuoka, Jepun: Itali memecahkan rekod dunia sendiri untuk menang emas berbasikal kejar-mengejar berpasukan lelaki di Tokyo 2020, selepas menewaskan juara dunia, Denmark di Velodrome Izu, hari ini.

Dalam persaingan sengit itu, kuartet Itali mencatatkan 3 minit 42.032 saat untuk menewaskan Denmark yang mencatatkan 3:42.198s.

Diketuai pelumba berusia 25 tahun, Filippo Ganna, kuartet Itali bersorak selepas kemenangan dan berkayuh mengelilingi velodrom di depan 1,000 penonton di Shizuoka.

Terletak kira-kira 145 kilometer di luar Tokyo, velodrom itu antara beberapa gelanggang di Tokyo 2020 yang membenarkan kehadiran penonton dalam jumlah terhad dan mereka dihidangkan final menarik dalam acara berprestij bagi berbasikal trek itu.

Ganna, Simone Consonni, Francesco Lamon dan Jonathan Milan meneruskan rekod lapan emas Olimpik bagi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki bagi Itali, walaupun ia adalah emas pertama acara itu sejak 1960.

Mereka turut memecahkan rekod dunia Selasa lalu, mengatasi rekod dicatatkan Denmark ketika muncul juara dunia di Berlin, tahun lalu.

Denmark sedang memburu emas kedua kejar-mengejar berpasukan lelaki dan hampir mencapainya, apabila catatan mereka mengatasi rekod dunia Itali sebelum itu.

Australia memenangi gangsa selepas menang perak dua kali di temasya Olimpik London 2012 dan Rio 2016 selepas menewaskan New Zealand, yang kecundang selepas pelumba mereka, terjatuh dan tersingkir.

Sebelum itu, New Zealand mendahului ketika separuh perlumbaan sebelum Gate tergelincir akibat terlanggar tayar belakang Regan Gough, sekali gus membenarkan Australia menang dengan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 8:24 PM