PASUKAN Jerman ketika memecah rekod dunia di peringkat kelayakan acara kejar-mengejar wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
PASUKAN Jerman ketika memecah rekod dunia di peringkat kelayakan acara kejar-mengejar wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Shizuoka, Jepun: Jerman memecahkan rekod dunia lumba basikal acara kejar-mengejar berpasukan wanita di peringkat kelayakan Tokyo 2020, hari ini, dengan catatan 4 minit 07.307 saat.

Kuarter Jerman dibarisi Franziska Brausse, Lisa Brennauer, Lisa Klein dan Mieke Kroeger memecahkan rekod 4:10.236s dicatatkan pasukan wanita Britain di Rio 2016, dengan perbezaan hampir tiga saat.

Britain yang diketuai Laura Kenny turut mengatasi rekod dunia mereka di Rio 2016 dengan catatan 4.09.022s, sekali gus menjanjikan kayuhan bertenaga acara trek di Veledrom Izu.

Tetapi, Jerman menjadi pilihan acara itu dan akan berdepan Itali, esok manakala Britain berdepan Amerika Syarikat (AS) dengan pemenang dua kali saringan akan berentap merebut pingat emas.

"Kami sedar rekod dunia kami akan dipecahkan dan menjangkakan daripada pasukan Australia atau AS, tetapi agak ganjil apabila ia berlaku ketika kami tidak melihatnya," kata pelumba Britain, Elinor Barker.

"Kami benar-benar gembira. Malangnya, Jerman lebih pantas daripada rekod dunia dan saya fikir, kami patut gembira dengan perkembangan itu."

Britain menang emas acara itu di Rio 2016 dan London 2012, sambil Laura berharap mencipta rekod dengan lima pingat emas Sukan Olimpik.

Jerman pula sedang memburu emas pertama acara itu di Sukan Olimpik selepas menduduki tempat ketiga di Kejuaraan Dunia, tahun lalu.

Perancis, New Zealand, Australia dan Kanada terlepas peluang untuk merebut pingat. Australia cukup mengejutkan apabila sekadar menduduki tempat ketujuh sedangkan awalnya dijangka mampu mencabar perebutan emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:24 PM