PASUKAN Britain tewaskan Denmark untuk muncul juara Eropah. FOTO Agensi
PASUKAN Britain tewaskan Denmark untuk muncul juara Eropah. FOTO Agensi
Reuters

London: Kuartet pasukan kejar-mengejar lelaki Britain memberikan amaran awal menjelang Sukan Olimpik Paris apabila menewaskan skuad pilihan Denmark untuk menjuarai gelaran Eropah di Apeldoorn semalam.

Hari kedua Kejohanan Eropah menyaksikan Britain meraih pingat emas pertama mereka menerusi kayuhan cemerlang Dan Bigham, Ethan Hayter, Ethan Vernon dan Charlie Tanfield.

Selepas persaingan sengit dengan juara dunia itu dalam acara 4 kilometer (km), Britain mempamerkan kayuhan cemerlang di pusingan terakhir untuk meraih gelaran juara Eropah kali pertama selepas sembilan tahun.

Britain cemerlang meraih emas di Olimpik Beijing, London dan Rio, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini penguasaan mereka diatasi pasukan Denmark dan juara Olimpik Itali.

Namun, gelaran Eropah yang diraih kali ini menunjukkan petanda yang baik untuk mereka merampas semula kejuaraan di Paris.

"Ini salah satu perlumbaan terakhir di sini, jadi mencatatkan masa yang bagus penting untuk mendapatkan semula keyakinan sebelum beraksi di Paris."

Itali menjuarai acara kejar-mengejar berpasukan wanita selepas mengatasi juara dunia Britain menerusi kayuhan mantap Elisa Balsamo, Martina Fidanza, Vittoria Guazzini dan Letizia Paternoster.

Matteo Bianchi pula meraih emas acara 1km ujian masa sekali gus menempatkan Itali di kedudukan teratas dalam carta pingat keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 12:51 PM