JOSIE mengangkat tangan selepas memenangi pingat emas acara kejar-mengejar individu wanita. FOTO AFP
JOSIE mengangkat tangan selepas memenangi pingat emas acara kejar-mengejar individu wanita. FOTO AFP
Reuters

Apeldoorn: Pelumba berbasikal trek Britain memberi amaran menjelang temasya Olimpik Paris 2024 apabila Josie Knight meraih pingat emas keenam bagi negara itu pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Eropah, semalam.

Josie memenangi gelaran kejar-mengejar individu wanita manakala rakan sepasukannya, Anna Morris meraih gangsa ketika Britain mengungguli carta pingat dengan 14 podium secara keseluruhan dengan lebih lima pingat berbanding Jerman.

"Sejujurnya saya sangat gembira. Ini adalah pingat emas pertama saya di kejohanan ini dan yang pertama di pentas antarabangsa secara individu dan ia sangat istimewa.

"Ia benar-benar istimewa dapat memenanginya secara individu sekali sekala," kata Josie yang juga anggota skuad kejar-mengejar berpasukan Britain.
Pada ketika Britain gembira dengan carta pingat, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen muncul pelumba paling menonjol dalam kejohanan ini apabila meraih emas acara keirin lelaki, sekali gus menambah emas dimenangi dalam acara pecut individu dan berpasukan.

Pelumba Jerman, Lea Friedrich pula memenangi acara keirin wanita dengan menewaskan pelumba Britain, Emma Finucane yang mengakhiri kejohanan dengan tiga pingat termasuk emas dalam perlumbaan pecut, sekali gus menambah satu lagi pingat diraih dalam Kejohanan Dunia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 11:46 AM